KUALA LUMPUR - Seramai 25 individu termasuk seorang wanita dipercayai ‘ulat foto’ ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menahan 23 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Filipina berusia 16 hingga 48 tahun dalam operasi bermula jam 10 malam.
"Kesemua individu direman tiga hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148/324 Kanun Keseksaan.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Selasa.
Sazalee berkata, pihaknya melaksanakan operasi membanteras kegiatan ‘ulat foto’, iaitu individu yang mendesak pelancong mengambil gambar dan mengenakan bayaran dalam jumlah tertentu.
"Mereka yang ditahan dipercayai tidak mempunyai pekerjaan lain dan menjadikan aktiviti mengambil gambar pelancong sebagai sumber pendapatan.
"Mereka disyaki bergerak secara berkumpulan, tetapi tiada ketua dan setiap individu menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk menarik pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat individu dalam tangkapan terdahulu menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari.
“Semakan dilakukan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan itu tidak sepadan dengan cap jari pemegangnya, sekali gus menunjukkan mereka bukan warganegara.
“Bagi tangkapan terbaharu, semakan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak JPN kerana kita meragui ketulenan dokumen pengenalan diri milik semua suspek,” katanya.
Sazalee berkata, pihak polis akan meneruskan operasi serta pemantauan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan berkenaan.
“Pihak polis akan terus menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong kekal selamat dan bebas daripada kegiatan jenayah.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan termasuklah kegiatan ulat foto sebegini,” katanya.
Terdahulu, polis menahan 18 individu susulan laporan seorang lelaki tempatan dan pelancong warga India dipukul sekumpulan lelaki di sekitar KLCC pada 22 Mac lalu.
Mengulas perkara itu, Sazalee berkata, hasil siasatan terhadap tangkapan terdahulu, dua individu dikenal pasti mempunyai pembabitan langsung dalam kes serangan dan telah dituduh di mahkamah.
“Dua individu telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Kedua-duanya tidak mengaku bersalah dan masing-masing dibenarkan ikat jamin RM3,000,” katanya.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati tiga lagi individu menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari.
“Tiga individu didapati tidak mempunyai dokumen sah dan menggunakan kad pengenalan yang tidak terkesan dalam rekod JPN.
“Mereka telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

