PUTRAJAYA - Prestasi mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan peningkatan bagi 63 daripada 95 mata pelajaran, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.
Menurutnya, 29 subjek termasuk Bahasa Melayu merekodkan penurunan, sementara tiga mata pelajaran tidak berubah berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).
Ujar Mohd Azam, bagi tujuh mata pelajaran teras, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala empat mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi.
"Mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.79 mata, iaitu 3.20 pada SPM 2025 berbanding 3.99 pada SPM 2024, manakala mata pelajaran Bahasa Melayu pula menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.13 mata, iaitu 3.85 pada SPM 2025 berbanding 3.72 pada tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM 2025 di sini pada Selasa.
Bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan Sains Tulen dan Matematik Tambahan, Mohd Azam berkata, ia menunjukkan penurunan prestasi antara 0.02 mata hingga 0.15 mata.
"Sebanyak 12 mata pelajaran elektif STEM yang melibatkan Sains Gunaan dan Teknologi, lapan mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi.
"Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 1.64 mata, iaitu 2.01 pada SPM 2025 berbanding 3.65 pada SPM 2024.
"Mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.25 mata, iaitu 4.32 pada SPM 2025 berbanding 4.07 pada tahun sebelumnya.
"Subjek Sains Komputer mengekalkan prestasi seperti tahun sebelumnya, iaitu 3.63," katanya.
Mohd Azam berkata, daripada 22 mata pelajaran elektif STEM yang melibatkan Mata Pelajaran Vokasional (MPV), sebanyak 16 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, lima mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi manakala satu mata pelajaran mengekalkan prestasi seperti SPM 2024.
Bagi mata pelajaran elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas, 11 daripada 12 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala satu mata pelajaran menunjukkan penurunan.
"Mata pelajaran Pengajian Keusahawanan menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.94 mata, iaitu 2.50 pada SPM 2025 berbanding 3.44 pada SPM 2024, manakala mata pelajaran Prinsip Perakaunan menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.07 mata, iaitu 4.00 pada SPM 2025 berbanding 3.93 pada SPM 2024.
"Bagi mata pelajaran elektif Pengajian Islam, sembilan daripada 13 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi manakala empat mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi.
"Mata pelajaran Al-Syariah menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 1.04 mata, iaitu 3.23 pada SPM 2025 berbanding 4.27 pada SPM 2024, manakala mata pelajaran Tasawwur Islam menunjukkan penurunan prestasi sebanyak 0.48 mata, iaitu 4.35," katanya.
Bagi subjek Pendidikan Kesenian pula, beliau berkata, sebanyak 11 daripada 18 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, enam menunjukkan penurunan manakala satu mengekalkan prestasi.


