
Kota Kinabalu: Mahkamah menetapkan 25 Okt tahun ini untuk memantau pemfailan hujahan bertulis kes seorang lelaki berusia 32 tahun, yang didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada lelaki lain.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim juga menetapkan 21 Okt untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis masing-masing berhubung kes Reezid Kasmin.
Tarikh keputusan kes itu akan ditetapkan pada 25 Okt.
Reezid didakwa menyerang Mohd Bovi Wong, 26, dengan menggunakan pisau dan pedang pada pukul 11 malam 6 Jan 2020 di hadapan Kedai Mike Café di Tuaran.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi tertuduh, Abdul Razif Juani, yang mengaku kepada pertuduhan itu dan telah pun dijatuhkan hukuman setimpal, serta seorang lagi subahat yang masih bebas.
Kesalahan di bawah Seksyen 326/34 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memanggil 15 saksi dalam perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Faezah Jafry manakala peguam Erveana Ansari Ali mewakili Reezid.
Dalam kes lain, seorang lelaki dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan kerana mengambil syabu secara berulang.
Rusmin Abd Amin mengaku kepada pertuduhan terhadapnya. Dia ditahan pada 9 Ogos tahun ini selepas air kencingnya diuji di balai polis di sini.
Rusmin mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah.
Selepas menamatkan hukuman penjaranya, Rusmin diperintahkan diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama dua tahun.
Sementara itu, seorang pendatang tanpa izin dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini tanpa sebarang dokumen.
Syed Anuar mengaku bersalah memasuki negeri ini secara haram di mana dia ditahan pada 10 Ogos tahun ini di kawasan Bandaraya selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri kepada polis.
Selepas menjalani hukuman penjara, dia diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen dan data biometriknya direkodkan sebelum dihantar pulang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

