
KUALA LUMPUR: Seramai 25 orang individu dijangka dipanggil sebagai saksi pendakwaan pada perbicaraan kes membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin atas pertuduhan pengubahan wang haram.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pendakwa raya itu turut memohon satu lagi tarikh sebutan bagi penyerahan baki dokumen yang masih belum diperoleh daripada beberapa agensi, antaranya bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bursa Malaysia.
“Pihak pendakwaan menyerahkan kepada mahkamah senarai saksi-saksi pendakwaan yang akan dipanggil bagi perbicaraan kes ini. Setakat ini dapat disenaraikan ada 25 orang saksi.
“Dalam kes ini, pihak pendakwaan ada baki beberapa dokumen lagi yang akan diserahkan kepada pihak peguam, namun masih memerlukan masa memandangkan dokumen-dokumen tersebut perlu diperolehi kepada beberapa agensi lagi,” katanya.
Peguam bela, Fahmi Abd. Moin mewakili pasangan itu tidak mempunyai sebarang bantahan namun memaklumkan mungkin akan menghantar satu representasi selepas menerima kesemua dokumen-dokumen berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi penyerahan baki dokumen pada 28 September ini.
Mengikut pertuduhan, Hafizuddeain itu didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.26 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank miliknya.
Perbuatan itu dibuat melalui beberapa transaksi antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025, di beberapa cawangan bank.
Bagi Salwani, dia sebagai Pengawal Syarikat (company controller) Wany Venture didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM82,000 yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat dan akaun peribadinya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights, di sini, antara 16 Januari dan 25 November 2025.
Pasangan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Sekyen tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda daripada jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan yang digunakan ketika kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN
The post 25 orang jadi saksi bicara kes bekas Panglima Tentera Darat appeared first on Utusan Malaysia.






