25 Tahun Bergelar Penyanyi, Akhirnya Liza Hanim Berjaya Kecapi Nikmat Genggam Trofi AIM

Music
13 Sep 2022 • 2:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Liza memenangi anugerah kategori Vokal Terbaik Duo bersama Shila Amzah juga Runut Bunyi Terbaik lagu 'Bahagiakan Dia' juga duet dengan penyanyi sama. - Gambar oleh Helmi Anuar (Iphone 13 Pro)

Menjadi impian setiap penyanyi di Malaysia untuk menggenggam trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) walaupun sekali dalam seumur hidup kerana anugerah ini dianggap sebagai anugerah tertinggi yang cukup berprestij bagi penggiat seni muzik tanah air.

Impian untuk menggenggam trofi ikonik berbentuk mikrofon itu juga sentiasa tersemat dalam jiwa penyanyi hebat, Liza Hanim sejak dari hari pertama di bergelar penyanyi.

Kini selepas 25 tahun bergelar penyanyi, akhirnya Liza Hanim berjaya menggenggam trofi Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM3)  apabila dia memenangi dua anugerah pada malam kemuncak acara tersebut yang telah  berlangsung Ahad lalu.

Liza memenangi anugerah bagi kategori Vokal Terbaik Duo bergandingan bersama Shila Amzah dan juga Runut Bunyi Terbaik menerusi lagu Bahagiakan Dia juga duet dengan penyanyi yang sama.

image is not available
Liza Hanim ketika menerima trofi untuk kategori Vokal Terbaik Duo bersama Shila Amzah dan juga Runut Bunyi Terbaik menerusi lagu 'Bahagiakan Dia'. - Gambar ihsan AIM

Liza yang ditemui ketika sidang media berkata, momen memenangi trofi AIM pertamanya dirasakan bagai sebuah mimpi. 

“25 tahun lamanya saya tunggu untuk pegang mikrofon ini (merujuk kepada trofi AIM). Mikrofon lain semua saya dah pegang, yang ini sahaja saya belum pegang lagi.

“Kemenangan ini sangat istimewa kerana saya telah menunggu sekian lama untuk mendapat pengiktirafan di AIM. 

“Tipulah kalau kata saya tak tunggu untuk menang AIM. Tetapi rasanya penantian saya selama suku abad ini berbaloi dengan kejayaan malam ini,” katanya.

image is not available
Liza Hanim hampir berputus asa dengan AIM kerana namanya sering dicalonkan namun sentiasa pulang dengan tangan kosong - Gambar Instagram Liza Hanim

Ditanya adakah dia pernah berasa putus asa dengan AIM kerana namanya sebelum ini sering dicalonkan namun sentiasa pulang dengan tangan kosong, kata Liza tipu andai rasa itu tidak singgah di benak fikirannya. 

“Sampai satu tahap saya sudah rasa bersyukur andai setakat tercalon antara yang terbaik kerana bukan sekejap penantian saya untuk meraih pengiktirafan ini. 

“Namun kemenangan pada malam ini telah menebus kedahagaan saya yang mendambakan trofi AIM ini,” ujarnya.

Sepanjang bergelar penyanyi, nama Liza Hanim pernah beberapa kali tercalon dalam AIM bagi kategori Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Wanita Terbaik (4 kali) dan Album Pop Terbaik (2 kali). 

Tahniah diucapkan kepada Liza Hanim. Semoga terus menghasilkan karya-karya bermutu untuk para peminat dan menjadi inspirasi kepada penyanyi baru di luar sana. – Getaran, 13 September 2022