25 warga Myanmar ditahan cuba masuk Malaysia secara haram

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 25 warga Myanmar ditahan cuba masuk Malaysia secara haram
Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan 25 warga Myanmar kerana masuk ke negara ini secara haram.
Image from: 25 warga Myanmar ditahan cuba masuk Malaysia secara haram
Kesemua individu yang ditahan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut

GEORGE TOWN – Seramai 25 warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dipercayai cuba memasuki negara ini secara haram melalui pesisir pantai Kuala Muda, Penaga, awal pagi Jumaat.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesemua individu terbabit ditahan kira-kira jam 4.25 pagi hasil maklumat risikan yang diterima kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurutnya, maklumat awal memaklumkan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot fiber yang dipandu laju menuju ke muara Kuala Muda.

“Susulan itu, sebuah bot peronda telah digerakkan ke lokasi bagi tujuan pemantauan sebelum pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 25 warga Myanmar.

“Bot peronda kemudiannya mengejar bot fiber terbabit namun ia berjaya meloloskan diri selepas menurunkan kesemua penumpang di pesisir pantai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

**media[3494327]**

Beliau berkata, kesemua warga asing berusia antara 12 hingga 42 tahun itu dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah sebelum menggunakan pengangkutan darat untuk bergerak keluar dari lokasi.

“Pemerhatian mendapati terdapat sebuah lori berada di pesisir pantai tersebut yang dipercayai digunakan untuk membawa mereka ke destinasi lain,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu Seksyen 6(1)(c) kerana berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta Seksyen 5(2) kerana masuk atau keluar dari negara melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Kesemua individu yang ditahan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut," ujarnya.