
TAWAU: Seramai 254 mangsa daripada 68 ketua isi rumah terjejas dalam kebakaran yang memusnahkan 16 rumah kayu di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, di sini ,pada Jumaat.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Moiley Milin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada 9.31 malam sebelum mengerahkan 45 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 3km dari balai.
“Operasi pemadaman menggunakan bekalan air daripada jentera bomba, pili bomba berhampiran dan sumber air terbuka. Kira-kira 300 rumah berjaya diselamatkan,” katanya pada Sabtu.
Beliau berkata api merebak dengan pantas berikutan angin kencang dan kedudukan rumah yang rapat antara satu sama lain.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan pada 3.25 pagi, katanya.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, mangsa kebakaran berkata mereka hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan kehilangan hampir semua harta benda, namun bersyukur kerana tiada nyawa terkorban.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 254 mangsa daripada 67 ketua isi rumah warganegara Malaysia dan seorang ketua isi rumah bukan warganegara.
Mangsa terdiri daripada 39 kanak-kanak lelaki, 41 kanak-kanak perempuan, lima bayi lelaki dan empat bayi perempuan, selain enam warga emas lelaki dan 11 warga emas perempuan. Baki mangsa ialah 83 lelaki dewasa dan 70 wanita dewasa.
Bagi Murni Barudin, 39, yang sudah dua kali mengalami kebakaran, keutamaannya hanya memastikan keselamatan lapan anaknya serta menyelamatkan dokumen penting.
“Waktu kejadian, hanya dua anak saya yang berusia enam tahun dan setahun enam bulan serta saya sedang tidur, manakala anak-anak lain masih bermain di luar dan suami bekerja di kem.
“Saya terjaga apabila terdengar orang berteriak kebakaran lalu keluar untuk melihat keadaan. Masa itu, api masih jauh dan saya tidak menyangka ia akan sampai ke rumah kami.
“Semuanya hangus. Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Saya hanya mengambil dokumen penting dan keluar dari rumah sambil menggendong anak,” katanya.
Nasruddin Lakami, 40, berkata keluarganya juga hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum melarikan diri dari rumah yang terbakar.
Beliau baru selesai makan apabila terdengar jiran menjerit mengenai kebakaran lalu keluar untuk melihat keadaan.
“Waktu itu, baru satu rumah terbakar. Rumah saya cuma beberapa meter dari situ dan saya tidak menyangka api merebak begitu pantas. Kami hanya sempat menyelamatkan tong gas dan kipas yang ringan,” katanya.
Akmat Abd Rashid, 51, yang rumahnya tidak terjejas, berkata beliau membantu penduduk menyelamatkan barang-barang yang masih boleh diambil serta cuba memadamkan api menggunakan air parit.
“Kebetulan saya belum tidur dan hanya berehat di bilik selepas balik dari solat Isyak di masjid. Saya terus keluar dari rumah selepas kakak maklumkan ada kebakaran. Api memang kuat dan merebak terlalu cepat,” katanya.
Akmat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan berkata kejadian itu merupakan kebakaran besar kedua melanda kampung berkenaan, selepas insiden terdahulu memusnahkan enam rumah.
Setakat laporan ini, kesemua mangsa ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.
Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau, Mohd Fawzi Abdul Kadir turut mengisytiharkan bencana kebakaran pada jam 12 tengah hari.




