26 pensyarah UMT tersenarai dalam 2% saintis terbaik dunia, menurut data Stanford–Elsevier

01/10/2025 - 17:58
KUALA TERENGGANU 1 Okt – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meraih pengiktirafan antarabangsa apabila 26 pensyarahnya disenaraikan dalam pangkalan data Stanford–Elsevier “Top 2% Scientists” 2025 berdasarkan penilaian Universiti Stanford dan penerbit akademik terkemuka Elsevier, Amerika Syarikat.
Senarai berprestij itu diterbitkan oleh Elsevier menerusi laporan bertajuk ‘Updated Science-wide Author Databases of Standardized Citation Indicators’ versi kelapan, yang menilai impak penyelidik berdasarkan petunjuk standard pemilihan.
Daripada jumlah itu, seramai 7 pensyarah UMT telah disenaraikan dalam Kategori Sepanjang Kerjaya (Whole Career Category) iaitu Profesor Dr. Yussuf Chisti, Profesor Dr. Su Shiung Lam, Profesor Dr. M Ismail, Profesor Dr. Meisam Tabatabaei, Profesor Dr. Mohd Lazim Abdullah, Profesor Madya Dr. Amin Beiranvand Pour dan Profesor Madya Dr. Hamid Amiri.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, bagi Kategori Setahun 2024 (Single-Year Category) pula, seramai 19 sarjana UMT terpilih dalam senarai itu.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan penyelidik UMT bersaing di peringkat global dan satu penghormatan besar buat universiti, bukti sumbangan signifikan tenaga pakar UMT dalam penghasilan ilmu baharu, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
“Kejayaan ini seiring dengan usaha UMT memperkukuh kedudukan sebagai universiti berteraskan bidang kelautan dan sumber akuatik yang berdaya saing di persada dunia.
“UMT amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan saintis UMT mampu berdiri sebaris dengan penyelidik terbaik dunia, sekali gus menunjukkan ilmu dan inovasi dari Pantai Timur dapat menyumbang kepada penyelesaian cabaran global,” katanya.
Tambahnya pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin kepada pengukuhan kerjasama pada pelbagai peringkat.
"UMT terus komited melahirkan graduan berdaya saing global dan memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara," katanya. - BERNAMA
standard

