ALOR SETAR – Sebanyak 27 warga Myanmar etnik Rohingya yang ditemukan maut dalam insiden bot karam di perairan Langkawi pada November tahun lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena pada pagi Khamis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pengurusan jenazah dijalankan secara teratur hasil kerjasama pelbagai agensi yang terlibat.
**media[3548295]**
Menurutnya, proses pengebumian kemudiannya dilaksanakan mengikut prosedur Temporary Controlled Burial (TCB) atas nasihat pihak hospital.
“Daripada 27 mangsa yang ditemui, 13 ialah lelaki manakala 14 lagi perempuan. Semua jenazah telah dikebumikan bermula jam 7.30 pagi pada Khamis dengan penuh tertib dan penghormatan mengikut hukum syarak Islam.
ARTIKEL BERKAITAN
BAM, GEGAR kemuka enam cadangan urus isu pelarian kepada kerajaan
UNHCR digesa percepat penempatan semula Rohingya - Belia 4B Kedah
KDN, Imigresen buat pengumpulan data biometrik, maklumat pelarian
“Proses pengebumian turut dipantau oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) bagi memastikan semua urusan dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, kesemua mayat mangsa yang ditemukan menerusi operasi mencari dan menyelamat telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tujuan pengecaman identiti, bedah siasat serta dokumentasi forensik mengikut prosedur yang ditetapkan.
**media[3548293]**
Proses pengurusan jenazah bermula pada jam 10 malam pada Rabu dan berjaya disempurnakan sepenuhnya pada jam 7 pagi pada Khamis.
Operasi pengurusan dan pengebumian tersebut dilaksanakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi utama termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), HSB, MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Dalam pada itu, Adzli berkata, siasatan berhubung punca kejadian, laluan kemasukan serta dalang di sebalik aktiviti penyeludupan migran masih diteruskan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Pada 8 November tahun lalu, sebuah bot dipercayai membawa kira-kira 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar, Bangladesh dan etnik Rohingya dilaporkan pecah di laut berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand.
**media[3548294]**
Susulan operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan, mayat etnik Rohingya yang ditemukan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.






