Lima nyawa melayang: Adakah hukuman sedia ada sudah memadai?

LocalPolitics
3 Jun 2026 • 10:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima nyawa melayang: Adakah hukuman sedia ada sudah memadai?
Jenazah empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Simpang Renggam, Johor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun pada Selasa. Foto: Bernama

SETIAP kali negara digemparkan dengan nahas tragis di jalan raya, naratif hampir sama berulang iaitu tangisan keluarga, siasatan pihak berkuasa, gesaan hukuman setimpal dan akhirnya kembali reda sebelum tragedi baharu berlaku.

Terbaharu, kemalangan yang meragut lima nyawa termasuk empat sekeluarga sekali lagi membangkitkan persoalan mengenai tahap keselamatan jalan raya negara serta keberkesanan undang-undang sedia ada dalam membendung pemanduan berbahaya.

Nahas itu dipercayai berlaku apabila dua kereta mewah dipandu secara laju dan melulu dalam kejadian di Kilometer 27 jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu lelaki berusia 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

Beliau berkata, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki yang juga adiknya berusia 19 tahun.

Kemalangan pada jam 1.15 tengah hari itu berlaku apabila BMW 530e hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz.

Sebelum ini negara turut digemparkan dengan beberapa kes pemandu mabuk yang meragut nyawa pengguna jalan raya lain sehingga mencetuskan kemarahan awam dan desakan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pelaku.

Ketika isu pemandu mabuk hangat diperkatakan pada April lalu, banyak pihak mencadangkan agar hukuman lebih berat seperti penjara mandatori jangka panjang dan hukuman mati bagi kes yang melibatkan kehilangan nyawa akibat kecuaian melampau.

Walaupun cadangan hukuman mati sering mencetuskan perdebatan dari sudut perundangan dan hak asasi, isu asas yang perlu dilihat ialah tahap keberkesanan sistem sedia ada dalam memberikan kesan gerun kepada pengguna jalan raya.

Hakikatnya, undang-undang yang ada hari ini masih dilihat gagal membendung sepenuhnya sikap pemanduan berbahaya, khususnya melibatkan golongan muda dan pemandu berisiko tinggi yang sering memandang ringan keselamatan pengguna lain.

Lebih membimbangkan, budaya ‘berani ambil risiko di jalan raya’ seolah-olah semakin normal dalam kalangan segelintir pemandu termasuk mereka yang memandu kenderaan berkuasa tinggi tanpa memikirkan keselamatan orang lain.

Dalam masa sama, kes pemandu mabuk sebelum ini turut menjadi bukti jelas bagaimana satu tindakan tidak bertanggungjawab boleh mengubah kehidupan banyak keluarga dalam sekelip mata.

Justeru, selain aspek penguatkuasaan, negara juga berdepan keperluan untuk menilai semula pendekatan lebih menyeluruh termasuk pendidikan keselamatan jalan raya, pemantauan lesen berisiko tinggi serta keberanian politik untuk memperkenalkan hukuman yang benar-benar memberi kesan pencegahan.

Selagi pendekatan keselamatan jalan raya hanya bersifat reaktif, selagi itu tragedi demi tragedi akan terus berulang dengan skrip yang hampir sama.