28 Keluarga Mangsa Tragedi Banjir Nepal Terima RM174,000 Daripada PERKESO

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 12:45 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Ana SR 14

Kehilangan ahli keluarga dalam tragedi banjir dan tanah runtuh di sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi apabila ada waris berdepan ketidakpastian mengenai nasib insan tersayang.

Dalam keadaan sebegini, bantuan kewangan dan perlindungan sosial sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga yang terjejas.

Terbaharu, seramai 28 keluarga mangsa tragedi banjir Nepal dikenal pasti layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM174,000.

16 Waris Hadir Terima Bantuan, 12 Lagi Sudah Diluluskan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, PERKESO telah melakukan semakan terhadap 54 mangsa tragedi itu dan mendapati 28 daripadanya layak menerima faedah untuk disalurkan kepada waris masing-masing.

Bagaimanapun, daripada keseluruhan 28 keluarga yang layak menerima bantuan, hanya 16 keluarga hadir pada majlis penyerahan tersebut.

Ini bermakna, 12 keluarga lagi tidak dapat hadir pada hari berkenaan, namun mereka tidak perlu risau kerana hak masing-masing tetap terpelihara.

Menurut Ramanan pasukan Social Synergy telah turun padang bertemu dengan kesemua 12 keluarga berkenaan dan faedah mereka juga sudah diluluskan.

“Jadi, waris terbabit tidak perlu lagi hadir ke pejabat PERKESO untuk menguruskan tuntutan tersebut.”

Ramanan berkata, beliau memahami bahawa bantuan kewangan yang disalurkan mungkin tidak mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, namun kerajaan akan terus berusaha membantu keluarga yang terjejas.

“Memang saya faham bantuan tu pun tidak cukup, tetapi kerajaan melalui ICU dan juga beberapa agensi yang lain turut memberi bantuan dan apa yang diperlukan oleh keluarga mangsa tragedi Nepal.”

Beliau berkata demikian ketika sidang media Penyerahan Faedah PERKESO kepada Mangsa Bencana Banjir Nepal di Menara PERKESO, Kuala Lumpur, pada 4 November lalu.

RM174,000 Merangkumi Faedah Pengurusan Mayat Dan Pencen Penakat

Untuk rekod, jumlah RM174,000 itu merupakan bayaran faedah kepada 28 keluarga yang layak, merangkumi Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat.

Sebelum ini, PERKESO melakukan semakan terhadap 54 mangsa tragedi berkenaan dan mendapati 28 daripadanya memenuhi syarat kelayakan caruman untuk membolehkan faedah disalurkan kepada waris masing-masing.

Ramanan berkata, semakan dilakukan dengan teliti bagi memastikan tiada waris yang berhak tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya.

“Kita tidak mahu ada waris yang layak tercicir atau terlepas daripada menerima bantuan dan perlindungan yang sepatutnya.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Skuad PERKESO Prihatin dan seluruh anggota PERKESO yang bertindak pantas mengesan serta mendapatkan maklumat waris mangsa.

Waris Mangsa Tanpa Rekod Caruman Turut Diberi Perhatian

Dalam pada itu, Ramanan turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan keluarga mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman PERKESO begitu sahaja.

Menerusi Program Social Synergy, PERKESO akan menghubungkan keluarga terjejas dengan rakan strategik termasuk 130 agensi di seluruh negara bagi mengenal pasti bantuan lain yang bersesuaian.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan keluarga yang kehilangan insan tersayang masih mendapat sokongan untuk meneruskan kehidupan, termasuk memenuhi keperluan harian dan menanggung pendidikan anak-anak.

Jelasnya, perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar satu kemudahan, sebaliknya merupakan hak setiap pekerja tanpa mengira sektor, jenis pekerjaan, status atau siapa majikan mereka.

Sumber: Sidang Media Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved