SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berjaya mencapai tahap pelaksanaan sebanyak 79.11 peratus melibatkan keseluruhan 282 projek bagi program dan inisiatif di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen pentadbiran negeri dalam memastikan agenda pembangunan berjalan mengikut perancangan, namun menegaskan tumpuan tidak terhenti kepada aspek ekonomi semata-mata.
Menurutnya, Selangor kini beralih kepada sasaran lebih berani iaitu membina negeri yang berdaya huni dengan keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Pembangunan yang kita rancang mesti mencapai keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan keberdayahuniannya supaya lebih 7.3 juta rakyat dapat menikmati kehidupan yang selesa dan sejahtera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 di sini pada Selasa.
Turut berkenan berangkat pada majlis perasmian itu ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Amirudin berkata, aspek kelestarian turut menjadi keutamaan dalam setiap perancangan bagi memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati dalam jangka masa panjang.
Katanya, antara asas penting yang diberi perhatian termasuk peningkatan kualiti infrastruktur seperti kemudahan awam dan rangkaian jalan raya yang menjadi nadi kepada aktiviti harian rakyat serta ekonomi negeri.
"Semua pihak memainkan peranan penting, daripada usahawan mikro, golongan belia, atlet, penggerak komuniti hingga penggiat warisan dan budaya dalam memperkukuh ekosistem ekonomi serta sosial Selangor,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil kerjasama Kerajaan Negeri melalui Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan peruntukan RM4.5 juta serta geran padanan oleh Selangor Youth Community (SAY), pelbagai projek komuniti dilaksanakan di seluruh daerah.
"Di Daerah Petaling, dua projek utama akan direalisasikan iaitu pembangunan Denai Hijau di SS7, Kelana Jaya serta Hab Komuniti Usahawan di Balai Raya JPKK Bukit Lanchong."
Mengulas lanjut, beliau berkata gagasan 'Rumpun Selangor' menjadi simbol kebersamaan rakyat dalam memacu pembangunan inklusif selaras dengan slogan 'Selangor Maju Bersama'.
“Tiada sesiapa harus ketinggalan daripada menikmati manfaat kemajuan ekonomi negeri. Kepesatan ekonomi perlu membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, kepelbagaian latar belakang masyarakat di negeri itu menjadi kekuatan utama dalam membentuk perpaduan dan daya saing Selangor sebagai pintu masuk ke rantau Asia Tenggara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek fizikal, sebaliknya turut merangkumi pembinaan jiwa dan semangat rakyat melalui aktiviti kemasyarakatan.
“Semangat kebersamaan ini penting bagi memastikan setiap warga Selangor mempunyai rasa tanggungjawab dan pemilikan dalam memajukan negeri,” tambah beliau.




