SHAH ALAM - Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor kini giat mempercepat pelaksanaan projek pembinaan bilik darjah baharu, terutama melibatkan sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negeri bagi menampung kemasukan murid Tahun 1 di negeri ini.
Pengarah JKR Negeri Selangor, Ir. Shukri Ishak berkata, pihaknya menerima peruntukan melibatkan kira-kira 102 sekolah dan setakat ini sebanyak 41 iklan sebut harga telah dikeluarkan bagi melaksanakan kerja-kerja berkaitan.
Menurutnya, usaha itu bagi meningkatkan kapasiti bilik darjah sedia ada, terutama di sekolah berkepadatan tinggi.
"Arahan juga telah diberikan kepada semua daerah supaya mempercepat penyediaan dokumen seperti BQ (Bill of Quantities) bagi membolehkan iklan dibuat segera.
"Kita sasarkan projek pembinaan bilik darjah ini dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini, terutama melibatkan sekolah yang mempunyai keperluan mendesak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) sempena Program Gagasan Rumpun Selangor 2026 di sini pada Selasa.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan merasmikan kompleks itu yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Shukri turut memaklumkan bahawa projek fasiliti pendidikan itu melibatkan semua daerah di Selangor dan pihaknya akan mengemukakan perincian lanjut termasuk agihan peruntukan kepada media dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Shukri berkata, teknologi tenaga solar di parkir berbumbung Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berjaya menjimatkan bil elektrik sehingga RM128,000 setahun, sekali gus menyokong agenda tenaga hijau dan pembangunan lestari negeri.
Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan hasil peruntukan sebanyak RM1.37 juta daripada Kementerian Ekonomi yang turut menyaksikan pengurangan kira-kira 45 peratus daripada kos bil elektrik bulanan.
Menurutnya, kejayaan itu mendorong pihaknya untuk memperluas penggunaan teknologi solar ke empat lagi pejabat JKR daerah pada tahun ini.
"Berdasarkan pencapaian semasa, kita mampu menjimatkan hampir separuh daripada bil elektrik bulanan.
"Jika sesebuah premis mencatatkan bil sekitar RM100,000 sebulan, penjimatan boleh mencecah kira-kira RM50,000.
"Dalam tempoh 10 bulan, jumlah itu boleh mencecah sehingga RM500,000, sekali gus memberikan impak penjimatan yang besar kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, Selangor mempunyai sembilan JKR daerah dan setakat ini empat daerah telah dikenal pasti bagi pelaksanaan fasa awal, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian.
"Pelaksanaan inisiatif tenaga solar itu adalah sebahagian daripada usaha mengurangkan jejak karbon di samping meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dalam sektor awam," tambah beliau.






