
JAKARTA – Debu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau terus menjejaskan penerbangan di beberapa bahagian di Indonesia buat hari kedua pada Isnin, membabitkan lapan lapangan terbang dengan lebih 240 penerbangan terganggu dan hampir 30,000 penumpang terkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sahaja.
Setakat 6.30 pagi Isnin, sejumlah 243 penerbangan dan 29,619 penumpang terkesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, merangkumi 184 penerbangan domestik, 54 penerbangan antarabangsa dan lima penerbangan kargo.
Penolong Timbalan Komunikasi dan Hal Ehwal Undang-undang lapangan terbang itu, Yudistiawan dalam satu kenyataan berkata, gangguan berkenaan merangkumi pembatalan, kelewatan serta lencongan ke lapangan terbang lain.
Beliau berkata, penutupan sementara lapangan terbang itu telah dilanjutkan hingga 6 petang Isnin berikutan petanda kehadiran debu gunung berapi daripada Anak Krakatau, selaras dengan Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM) yang berkuat kuasa.
“Kami memahami situasi ini telah menjejaskan perjalanan penumpang. Sejak penutupan sementara bermula, fokus kami adalah bagi memastikan keperluan penumpang terus dipenuhi, daripada penyediaan makanan dan kawasan rehat hinggalah pengaturan pengangkutan darat alternatif,” katanya.
Yudistiawan berkata, pengendali lapangan terbang, InJourney Airports turut menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Soekarno-Hatta ke Yogyakarta, Solo, Semarang dan Surabaya.
Penumpang yang terkesan boleh mendaftar bagi perkhidmatan itu di kaunter khas di terminal.
Soekarno-Hatta adalah antara lapan lapangan terbang yang terjejas akibat debu gunung berapi berkenaan.
Lapangan terbang lain yang turut terjejas ialah Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Bandung, Lapangan Terbang Budiarto di Tangerang, Lapangan Terbang Pondok Cabe di Tangerang Selatan, Lapangan Terbang Taufik Kiemas di Pesisir Barat, Lampung dan Lapangan Terbang Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan.
Di tengah-tengah gangguan yang berterusan, Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata pihak berkuasa sedang memantau rapi penyebaran debu gunung berapi dan hanya akan membenarkan lapangan terbang yang terjejas beroperasi semula selepas mengesahkan keadaan benar-benar selamat.
“Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami memantau perkembangan terkini berdasarkan maklumat daripada BMKG (Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik), justeru kami belum dapat menentukan bila situasi ini akan berakhir kerana keadaan cuaca yang sangat dinamik,” katanya dalam satu kenyataan.
Dudy berkata, ketidakpastian itu antaranya berpunca daripada arah angin yang berubah dengan pantas pada altitud berbeza.
Ujian kertas dilakukan setiap 30 minit di semua lapangan terbang yang terjejas bagi menentukan sama ada debu gunung berapi semakin merebak atau berkurangan.
Sebaik sahaja keadaan kembali pulih dan lapangan terbang dibenarkan beroperasi semula, pemeriksaan ke atas pesawat perlu dilakukan bagi memastikan tiada debu gunung berapi memasuki enjin sebelum penerbangan disambung semula, katanya. – Bernama
The post 29,619 penumpang terkesan, 240 penerbangan terganggu appeared first on Kosmo Digital.




