Letusan Anak Krakatau: Kedutaan Besar Malaysia bantu rakyat terkandas – Mohamad

7 Sep 2026 • 6:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Letusan Anak Krakatau: Kedutaan Besar Malaysia bantu rakyat terkandas – Mohamad
Penumpang terkandas berkumpul sementara menunggu di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta yang ditutup daripada semua operasi penerbangan susulan abu daripada gunung berapi Anak Krakatau. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang mencari penyelesaian dan menghulurkan bantuan terbaik untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia susulan letusan Gunung Anak Krakatau.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ahli keluarga rakyat Malaysia yang terlibat diminta bersabar kerana keadaan itu bergantung kepada kebenaran untuk syarikat penerbangan meneruskan operasi.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang terkandas berada dalam keadaan selamat, dan situasi ketika ini hanya melibatkan gangguan penerbangan.

"Jadi, saya harap rakyat Malaysia yang terkandas bersabar kerana kita tak boleh nak buat apa kerana tidak ada penerbangan khas yang boleh dilakukan... kalau boleh dibuat penerbangan khas, kita buat tapi semua penerbangan terpaksa dibatalkan,

"Pihak konsular kita di Jakarta akan melakukan yang sebaik mungkin untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Jakarta,” katanya dalam sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow di sini hari ini.

Setakat pagi tadi, kira-kira 1,500 rakyat Malaysia terjejas susulan pembatalan dan penjadualan semula penerbangan di Jakarta akibat abu Gunung Anak Krakatau yang memasuki hari kedua.

Gunung Anak Krakatau, yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera, mula meletus pada 11.07 malam waktu tempatan Jumaat lepas.

Dilaporkan sebanyak 243 penerbangan membabitkan 29,619 penumpang terjejas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Tujuh lagi lapangan terbang turut terjejas akibat abu gunung berapi berkenaan termasuk Halim Perdanakusuma di Jakarta, Radin Inten II di Lampung, Husein Sastranegara di Bandung dan Budiarto di Tangerang.

Selain itu, Lapangan Terbang Pondok Cabe di Tangerang Selatan, Taufik Kiemas di Pesisir Barat, Lampung dan Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved