3,000 lampu solar LED dipasang di 32 lokasi berisiko lebuh raya

LocalEnvironment
23 Jun 2026 • 12:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

3,000 lampu solar LED dipasang di 32 lokasi berisiko lebuh raya

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Kerajaan memperuntukkan RM25.2 juta bagi fasa awal pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar di 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif di bawah Program Pantau MADANI itu melibatkan pemasangan 3,000 tiang lampu bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya di lokasi dikenal pasti.

Beliau berkata projek itu merupakan langkah proaktif Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan peruntukan berkaitan dalam Belanjawan 2026 pada Oktober tahun lalu.

"Kerajaan amat memandang serius isu kemalangan jalan raya. Peruntukan asal yang disebut sebelum ini adalah RM30 juta, namun untuk peringkat awal ini kita agihkan RM25 juta terlebih dahulu. Baki peruntukan akan disalurkan selepas kita meneliti keperluan dari semasa ke semasa.

"SST (Surat Setuju Terima) telah pun diserahkan kepada kontraktor terpilih hari ini, bermakna kerja fizikal di tapak boleh dimulakan serta-merta. Projek ini disasarkan siap sepenuhnya menjelang hujung November tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan SST kepada empat kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim, Pengerusi LLM Datuk Seri Hasni Mohammad, Ketua Pengarah LLM Datuk Mohd Hadzmir Yusoff dan Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ibrahim Esa.

Nanta berkata nilai keseluruhan SST yang dikeluarkan hari ini berjumlah RM25,248,813.08.

Daripada jumlah itu, 1,005 tiang lampu melibatkan kos RM8.11 juta akan dipasang di 12 lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan (E1) (Utara), iaitu antara Persimpangan Bertingkat Sungai Buloh dan Persimpangan Bertingkat Gurun.

Sebanyak 567 tiang pula akan dipasang di enam lokasi di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (E29) dan Lebuhraya Utara-Selatan (E2) (Selatan), meliputi jajaran antara Persimpangan Bertingkat Senawang dan Persimpangan Bertingkat Pedas Linggi, dengan nilai kontrak RM5.09 juta.

Bagi jajaran E2 (Selatan) antara Persimpangan Bertingkat Ayer Keroh dan Persimpangan Bertingkat Yong Peng (Utara), 738 tiang lampu akan dipasang di lima lokasi dengan kos RM6.25 juta.

Baki 690 tiang lampu bernilai RM5.77 juta akan dipasang di sembilan lokasi merangkumi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8) (antara Karak dan Bentong), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (antara Persimpangan Bertingkat Chenor dan Persimpangan Bertingkat Gambang), serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (antara Persimpangan Bertingkat Bukit Besi dan Persimpangan Bertingkat Ajil).

Sementara itu, Mohd Hadzmir berkata LLM menggunakan sistem MH Roads bagi memantau data kemalangan secara terperinci untuk mengenal pasti kawasan blackspot.

"Daripada 32 lokasi yang dikenal pasti, sembilan daripadanya merupakan kawasan blackspot rasmi yang mempunyai pemberat kemalangan yang tinggi, manakala selebihnya adalah kawasan berpotensi (berisiko) tinggi.

"Pemasangan lampu LED solar ini akan dipantau secara rapi bagi melihat trend penurunan kadar kemalangan. Selepas projek siap, aspek penyenggaraan akan diserahkan kepada syarikat konsesi lebuh raya masing-masing di bawah seliaan LLM," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved