
KUALA LUMPUR - Sektor swasta menjadi destinasi utama pegawai perubatan yang meninggalkan perkhidmatan awam apabila 51.4 peratus daripada 3,510 pegawai memilih untuk meneruskan kerjaya di luar kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jumlah berkenaan merangkumi pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak bagi tempoh bermula 2024.
Menurut beliau, selain beralih ke sektor swasta, sebahagian besar pegawai terbabit turut memberikan faktor peribadi sebagai alasan meninggalkan perkhidmatan, iaitu sebanyak 36.8 peratus.
“Baki pegawai pula mengambil keputusan berkenaan atas pelbagai sebab, termasuk menyertai badan berkanun (4.5 peratus), bekerja atau menetap di luar negara (2.9 peratus) dan masalah kesihatan (2.6 peratus).
“Selebihnya meninggalkan perkhidmatan untuk melanjutkan pengajian (1.5 peratus) atau membuka klinik sendiri (0.3 peratus),” katanya.
Dr Dzulkefky menyatakan demikian menerusi jawapan bertulis beliau di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan V Ganabatirau (PH-Klang).
Jelas beliau, lapan pegawai perubatan pakar telah meletakkan jawatan atau berpindah ke luar negara.
Dalam pada itu, KKM berdepan kekosongan 1,660 jawatan pegawai perubatan pakar dan 11,412 jawatan pegawai perubatan bukan pakar setakat 30 Jun lalu.
Bagi latihan siswazah perubatan atau housemanship pula, hanya 6,580 daripada keseluruhan 12,198 tempat yang disediakan di 48 hospital seluruh negara telah diisi, bersamaan kadar pengisian 54 peratus.
Bagaimanapun, tambah Dr Dzulkefly, jumlah penempatan sedia ada masih mampu menampung graduan perubatan yang layak menjalani latihan berkenaan.
“Buat masa ini, tiada graduan yang terpaksa menunggu untuk mendapatkan tempat latihan,” katanya.
Dalam usaha menangani isu tenaga kerja dan meningkatkan prospek kerjaya pegawai perubatan kontrak, KKM sedang meneruskan perbincangan dengan agensi pusat berhubung beberapa langkah penambahbaikan.
Antara yang dirancang ialah menawarkan pelantikan tetap kepada 4,500 pegawai perubatan tahun ini.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan pasukan petugas pada April lalu bagi mengkaji isu perjawatan serta cabaran yang dihadapi kementerian berkenaan.
KKM turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan bekalan tenaga kerja kesihatan dapat memenuhi keperluan semasa negara. - Getaran, 22 Oktober 2026






