
PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung seorang remaja perempuan warga Myanmar yang dikatakan telah dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Penghantaran Pulang semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil semakan mendapati individu berkenaan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen dan tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar melalui kapal tentera Myanmar.
“JIM mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya berhubung aspek keselamatan dan kebajikan tahanan.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen, JIM turut memberikan perhatian terhadap pertimbangan kemanusiaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengurusan depot imigresen dilaksanakan mengikut ketetapan dan piawaian antarabangsa seperti United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules).
Katanya, kawalan dalaman turut dilaksanakan melalui peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen, dengan mengambil kira prinsip layanan berperikemanusiaan.
“JIM menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menimbulkan kekeliruan mengenai tindakan dan proses yang dilaksanakan oleh jabatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Remaja Myanmar tidak dihantar pulang, masih dalam tahanan appeared first on Kosmo Online.





