3 Beregu Badminton Negara Mara Ke Suku Akhir Kejohanan Dunia

25 Aug 2023 • 7:57 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pasangan beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah berjaya mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia 2023. gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Tiga beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia 2023 di Royal Arena, Copenhagen, Denmark.  

Juara semasa beregu lelaki Aaron-Wooi Yik yang ketinggalan dalam sebahagian besar set pembukaan semasa menentang Juara Sukan Olimpik, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan bangkit untuk memenanginya 21-16 dan memastikan tempat mereka di suku akhir dengan memenangi set kedua 21-18 dalam perlawanan pusingan ketiga kejohanan dunia itu.

Beregu pilihan keenam kejohanan, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi menanti pilihan keempat kejohanan Aaron-Wooi Yik selepas beregu China itu mara ke suku akhir dengan menyingkirkan  wakil Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han, 24-22, 21-16.

Sebaliknya, cabaran beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam kejohanan dunia kali ini berakhir selepas mereka tumpas kepada pasangan tuan rumah Kim Astrup-Anders Rasmussen, 15-21, 10-21.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga mengalami nasib sama selepas ditewaskan beregu pilihan ketiga dari China  Liang Wei Keng-Wang Chang, 16-21, 21-14, 17-21. 

Pada masa sama, beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah mempamerkan aksi mengagumkan dan mengejutkan beregu pilihan keempat dari Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, 21-14, 22-20 untuk mara ke suku akhir.

Beregu pilihan ke-10 kejohanan itu akan berhadapan dengan beregu pilihan keenam dari China, Zheng Su Xian-Zheng Yu yang turut melangkah ke suku akhir selepas menundukkan beregu Belanda Kirsten de Wit-Alyssa Tirtosentono, 21-13, 21-10.

Sementara itu beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bangkit selepas tewas dalam set pertama untuk beregu pilihan ke-14 itu mara ke suku akhir menewaskan pasangan pilihan ketujuh dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 20-22, 21-19, 21-12. 

Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pasangan pilihan kedua  Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang menyingkirkan beregu Indonesia Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, 21-14, 21-17.

Bagaimanapun, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie ditunjukkan jalan keluar oleh wakil China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, selepas tewas 16-21, 18-21. - BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved