‘3 kali Ketua Pengarah J-Kom bertukar jawatan’ Wan Saiful bangkit isu campur tangan politik

LocalPolitics
25 Nov 2025 • 11:33 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa supaya kerajaan menilai semula tujuan asas penubuhan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan pelantikan Ketua Pengarah dan pegawai kanannya diisi penjawat awam profesional, bukan lantikan politik semata-mata.

Menurutnya, J-KOM telah mengalami tiga kali pertukaran Ketua Pengarah di bawah kerajaan hari ini dan pertukaran yang kerap ini menimbulkan persoalan tentang campur tangan politik dalam proses lantikan.

Isu J-KOM, kata beliau, bukanlah sesuatu yang baharu malah sejak beberapa tahun lalu, polemik fungsi, peranan, dan keberkesanan agensi itu dibangkitkan berkali-kali dalam Dewan Rakyat.

Namun, hingga kini ujar beliau, masalah tidak juga selesai.

“Bagi memastikan integriti J-KOM dikembalikan, pelantikan Ketua Pengarah dan pegawai kanan perlu diisi oleh penjawat awam profesional, bukan lantikan politik semata-mata.

“Kekosongan wajar diiklankan agar semua profesional yang berkelayakan boleh memohon dan pemilihan dijalankan secara kompetitif.

“Pegawai awam yang terlatih boleh menjamin neutraliti, konsistensi, kestabilan kepimpinan dan objektiviti komunikasi, serta pematuhan etika dan prinsip ketelusan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa Ahli Parlimen sebelum ini membangkitkan mengenai J-Kom yang dikatakan gagal menyampaikan mesej kerajaan kepada orang ramai.

Terbaru adalah kritikan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong , yang mempersoalkan kelemahan J-KOM dalam menyampaikan maklumat dan dasar kerajaan kepada rakyat, serta Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Seri Idris Ahmad yang memberi amaran J-KOM tidak boleh disalahgunakan sebagai alat propaganda politik kerajaan.

Ingatan daripada Idris itu, kata Wan Saiful mengenai risiko J-KOM, yang dibiayai oleh wang cukai rakyat, dipergunakan untuk tujuan partisan sehingga menjadi alat propaganda parti politik, perlu diberikan perhatian serius.

Beliau membuat perbandingan di mana di United Kingdom, wujudnya agensi yang sama seperti J-KOM dikenali sebagai Government Communication Service (GCS) yang menetapkan standard tinggi berkaitan pemilihan dan pelantikan pegawai komunikasi yang bebas daripada pengaruh politik.

“Standard etika, dan garis panduan operasi yang jelas, menjadi kunci untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti malah GCS juga menyediakan laporan berkala kepada Parlimen untuk mengekalkan semak imbang dan ketelusan.

“Model GCS boleh dijadikan panduan untuk membina J-KOM yang profesional, telus dan dipercayai rakyat, sambil mengekalkan fokus kepada dasar kerajaan,’’ katanya.

Tegasnya, J-KOM boleh berperanan sebagai jambatan antara kerajaan serta rakyat dan untuk membina semula kepercayaan rakyat, J-KOM mesti kembali kepada asasnya iaitu profesional, telus, adil dan berkesan. - 25 November, 2025

The post ‘3 kali Ketua Pengarah J-Kom bertukar jawatan’ Wan Saiful bangkit isu campur tangan politik appeared first on Scoop.