3 Maut Vellfire Terbabas Ke Dalam Parit

1 Jun 2024 • 1:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota bomba menggunakan tali dan pengusung untuk mengeluarkan mayat mangsa - Gambar JBPM Johor

KUALA LUMPUR - Tiga disahkan maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas ke dalam parit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, PBK I Haizrul Rahmad berkata, panggilan kecemasan mengenai nahas itu diterima pada jam 7.20 pagi tadi.

Menurut beliau, insiden berkenaan berlaku di hadapan sebuah hotel di Johor Bahru. 

“Bertindak atas maklumat, pasukan bomba dengan kekuatan 12 anggota daripada BBP Larkin telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera LFRT, kenderaan Unit EMRS dan motosikal Unit RIM.

“Dalam nahas tersebut, MPV jenis Toyota Vellfire itu telah terbabas dan masuk ke dalam parit sedalam dua meter. 

“Terdapat tiga mangsa yang terlibat iaitu seorang lelaki dan dua wanita,” katanya. 

Haizrul Rahmat berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan tali serta pengusung untuk mengeluarkan dan mengangkat semua mangsa yang terperangkap. 

“Ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.40 pagi. - Getaran, 1 Jun 2024