
HILANG dalam ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023), keberadaan pendaki kategori orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim terus menjadi tanda tanya.
Tiga tahun berlalu, pihak ekspedisi baru-bqru ini memohon Kerajaan Nepal mengeluarkan pengisytiharan rasmi kematian bagi membantu melancarkan pelbagai urusan melibatkan keluarganya
Memetik laporan Sinar Harian, Chef de Mission ME 2023, Tan Sri Salleh Mohd Nor berkata, permohonan berkenaan telah disampaikan kepada Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Malaysia, Mudita Bajracharya, dengan harapan kerajaan negara itu dapat mempertimbangkan perkara tersebut.
Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang dokumen rasmi berkaitan deklarasi kematian dikeluarkan oleh Kerajaan Nepal walaupun kehilangan Hawari sudah melepasi tempoh tiga tahun.
Ujarnya, pengisytiharan berkenaan amat penting bagi memudahkan keluarga Muhammad Hawari menguruskan pelbagai perkara termasuk tuntutan insurans, urusan pekerjaan dan dokumentasi rasmi.
“Dalam pertemuan yang diadakan, wakil Kerajaan Nepal menyatakan kesediaan untuk membantu berhubung perkara yang dibangkitkan.
“Langkah seterusnya ialah mengemukakan surat rasmi kepada kerajaan berkenaan bagi mendapatkan pertimbangan serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Everest Sedunia 2026 (Sagarmatha Diwas 2026) di ibu negara pada Khamis.
Imbas kembali, Hawari yang berasal dari Pulau Pinang telah berjaya menawan Gunung Everest pada 19 Mei 2023.
Namun, dia dilaporkan hilang sehari kemudian ketika berada di kawasan berhampiran puncak gunung tertinggi di dunia itu.
Pendakian berkenaan merupakan percubaan kali kedua Hawari selepas tertangguh pada tahun sebelumnya disebabkan faktor cuaca ribut salji.
KRONOLOGI
-Misi Malaysia Everest 2023 pada 4 April 2023 itu disertai dan tiga pendaki lain melibatkan ketua misi, Azim Afif Ishak, Awang Askandar Ampuan Yaacub dan Tiong Ling Yang.
-Pada 18 Mei 2023, Hawari berjaya tawan puncak Everest dengan membawa bersama Jalur Gemilang dan bendera negeri Pulau Pinang pada ketinggian 8,848 meter dari paras laut pada Khamis.
Dia berjaya sampai di puncak pada jam 3.30 petang (waktu Nepal) dan kejayaannya itu dilaporkan media online tempatan Nepal, The Himalayan Times
-Pada 19 Mei 2023, Hawari dilaporkan keluar dari Kem 4 secara bersendirian pada awal pagi tanpa pengetahuan malim gunung.
-Menurut Pengarah Pioneer Adventure Pvt Ltd, Nivesh Karki, Hawari dilaporkan hilang pada pagi Jumaat selepas berjaya
menawan puncak gunung itu dan turun
berehat di Kem 4.
-Nivesh berkata, usaha pencarian giat dijalankan termasuk sampaikan mesej ke semua kem sama ada Hawari ada berteduh di khemah lain.
-Dalam pada itu, operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sukar jika Hawari terjatuh di kaki Gunung Lhotse.
-21 Mei 2023, SAR menerusi udara telah dilakukan namun tidak menemukan kesan manusia di kawasan pendakian.
Sementara itu, SAR di darat menjumpai jaket Gore-Tex mengandungi 'recco' (sejenis peralatan pengesan) milik Hawari di Kem 2.
-22 Mei 2023 SAR mencari diteruskan di kawasan ceruk, selain menjejaki telefon bimbit Hawari. Pengurus Pasukan Misi Malaysia Everest 2023, Ayu Wanirah Naharuddin berkata operasi dikendalikan salah seorang pendaki, Tiong Ling Yang yang dikenali sebagai Vincent.
-Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu telah berhubung dengan polis Nepal untuk bantuan menjejaki iPhone milik Muhammad Hawari.
-Sekumpulan orang Sherpa akan membuat pemeriksaan bagi mencari Muhammad Hawari di setiap khemah di Kem 2, 3 dan 4. Pihak Suunto Malaysia difahamkan akan membantu menjejaki Hawari sekiranya pendaki itu menyimpan segala aktiviti di dalam aplikasinya.
-22 Mei 2023. Terdapat kemungkinan Hawari yang hilang terjatuh dari Kem Empat ke Kem Dua berdasarkan penemuan terbaru pasukan SAR pada Ahad.
-Pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin berkata, adalah mustahil untuk Hawari berjalan kaki turun ke Kem Dua berikutan perjalanan dari Kem Empat ke lokasi tersebut mengambil masa kira-kira 5 atau 6 jam untuk mereka yang profesional.
Jarak ketinggian Kem Empat dan Kem Dua itu melebihi 1,000m yang mana agak sukar untuk turun ditambah lagi dengan keadaan gunung yang sangat curam.
Sekadar info, Ketua Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub disahkan meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal bersamaan 12.45 tengah hari waktu Malaysia 19 Mei 2023 ketika menyertai ekspedisi berkenaan.



