30 Hari Yang Mengubah Segalanya, ‘Mr. Perfect Ramadan’ Kisah Anak Bandar Belajar Erti Hidup

EntertainmentLifestyle
23 Feb 2026 • 11:36 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bayangkan seorang anak bandar yang hidupnya penuh kebebasan, cita-cita besar dan sedikit ego, tiba-tiba dipaksa menghabiskan 30 hari Ramadan di kampung. Tanpa kafe hipster, tanpa teman-teman sekepala, tanpa gaya hidup yang biasa dinikmati. Hanya sawah menghijau, surau kecil dan seorang datuk yang tegas tetapi penuh kasih.

Inilah premis yang menggerakkan Mr. Perfect Ramadan, sebuah drama bersiri mikro komedi romantik yang mula bersiaran pada 19 Februari, setiap hari jam 12.00 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.

Dibarisi pelakon muda dan berpengalaman seperti Muaz Zabir, Ariana Yusof dan Sabri Yunus, drama ini menyulam kisah cinta, kekeluargaan dan keimanan dalam latar desa yang sederhana tetapi sarat makna.

image is not available

Drama ini mengisahkan Syafiq (Muaz Zabir), seorang pemuda bandar berusia 25 tahun yang bercita-cita menyambung pelajaran ke Australia demi mengikut jejak langkah rakan-rakannya. Tanpa pengetahuan ibu bapanya, Anisah dan Talib, Syafiq mendapatkan surat tawaran universiti luar negara. 

Namun, impiannya ditentang keras kerana ibu bapanya bimbang Syafiq mudah terpengaruh dengan budaya Barat.

Sebagai jalan tengah, Anisah menetapkan satu syarat yang disangka mustahil dipenuhi Syafiq iaitu dia perlu tinggal selama 30 hari sepanjang Ramadan di kampung dan menjaga datuknya, Tokwan (Sabri Yunus) yang tinggal bersendirian. Syarat inilah yang menjadi titik tolak perubahan besar dalam hidup Syafiq.

Konflik bermula seawal ketibaannya di kampung apabila Syafiq berdepan pelbagai kesulitan, termasuk insiden tayar pancit yang menemukan dia dengan Laura (Ariana Yusof) gadis kampung yang nakal, periang dan tidak gentar menyindir egonya. 

Pertemuan pertama yang penuh sindiran itu menjadi permulaan kepada hubungan benci tapi suka, di mana setiap pertemuan mereka pasti berakhir dengan perbalahan kecil yang mencuit hati.

Tidak selesa dengan rutin kampung daripada bersahur makanan sederhana, berbuka di masjid hingga solat tarawih berjemaah, Syafiq merasakan kebebasannya tersekat. Namun kebijaksanaan Tokwan perlahan-lahan melembutkan hati cucunya. Di sebalik sikap tegas Tokwan, terselit kasih sayang dan didikan halus tentang kehidupan dan agama.

Hubungan Syafiq dan Laura semakin akrab apabila Syafiq mula melihat keistimewaan Laura, seorang gadis cekal yang bekerja keras, membantu orang kampung dan taat beribadah. Pelbagai momen manis tercipta, daripada belajar menggergaji buluh, menganyam ketupat sehinggalah hadiah langsir dan cadar raya yang tanpa sengaja menerbitkan perasaan cinta yang terpendam.

image is not available

Namun, perjalanan mereka tidak mudah. Kehadiran rakan-rakan lama Syafiq dari Kuala Lumpur, bersama seorang gadis yang menyimpan perasaan terhadapnya, menguji kesetiaan dan kejelasan hati. Syafiq akhirnya berdepan persoalan besar: mengejar impian lama di luar negara, atau membina masa depan yang lebih bermakna di tanah air?

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama bersiri mikro Mr.Perfect Ramadan bermula 19 Februari, setiap hari jam 12 tengah hari, eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton. Sebuah kisah ringan penuh makna tentang Ramadan, keluarga dan cinta yang hadir tanpa dipaksa.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama dan rancangan kegemaran anda, layari Facebook, X, YouTube dan Instagram TV3 di TV3Malaysia, ikuti juga Instagram rasmi Drama Sangat di dramasangat serta platform rasmi tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram di tontonmy. -  Getaran, 23 Februari 2026