30 skor lagu saya cipta dalam Mansur & Liu semua sedap-sedap – M.Nasir

EntertainmentMusic
10 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 30 skor lagu saya cipta dalam Mansur & Liu semua sedap-sedap – M.Nasir

KUALA LUMPUR: Hasrat maestro muzik, Datuk M. Nasir untuk menduduki kerusi pengarah teater muzikal akhirnya menjadi kenyataan menerusi naskhah Mansur & Liu.

Menurut M. Nasir, minat untuk mengarahkan pementasan teater tercetus selepas dia banyak meluangkan masa menonton persembahan teater tempatan, sekali gus membuatnya memasang impian untuk menghasilkan naskhah sendiri.

“Sebenarnya saya sudah sekian lama mahu mengarah teater tetapi peluang itu tidak kunjung tiba. Saya sudah tonton kebanyakan persembahan teater dalam negara dan memang simpan hasrat untuk buat sendiri.

“Jadi, saya sudah tanam dalam diri, jika ada peluang, saya mahu buat betul-betul dan beri persembahan dengan impak yang besar. Itu harapan saya untuk naskhah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media teater Mansur & Liu di Istana Budaya, baru-baru ini.

Mengulas mengenai latar belakang naskhah berkenaan, M. Nasir berkata, idea asal Mansur & Liu tercetus kira-kira enam tahun lalu selepas dia ditugaskan membaca buku audio Sulalatus Salatin oleh Tun Seri Lanang, sekali gus mendorongnya meneroka hikayat Melayu lama.

Bagaimanapun, usaha mementaskan Mansur & Liu menerusi sebuah produksi ketika itu berdepan cabaran susulan pandemik COVID-19.

Apabila peluang kembali terbuka, M. Nasir memberikan komitmen sepenuhnya dengan memanfaatkan pengalaman luas dalam dunia muzik untuk menghasilkan 30 skor lagu baharu yang dicipta khas bagi pementasan berkenaan.

Tambahnya, lagu-lagu tersebut akan diiringi orkestra dengan bantuan pengarah muzik, Mohd Rafi Shafie yang lebih mesra dipanggil Rafi Suhu.

“Teater ini berbeza dengan yang ada di luar kerana lagu yang saya cipta semua sedap-sedap. Boleh dikatakan ia disiapkan dalam keadaan pantas kerana saya sangat bersemangat. Jika tiada semangat, mungkin susah untuk menyiapkannya.

“Pementasan ini menyentuh sejarah Sultan Melaka berkahwin dengan puteri dari China. Ia adalah sebuah fiksyen yang memfokuskan kepada elemen romantik.

“Walaupun ada aksi peperangan dalam teater ini, dasarnya adalah cinta dan lagu-lagu yang dihasilkan juga sangat romantik,” katanya.

Dalam pada itu, M. Nasir turut mengakui cabaran mendapatkan bakat yang mampu menguasai kemahiran lakonan dan nyanyian dengan baik untuk menjayakan sesebuah teater muzikal.

“Mencari pelakon muzikal sangat susah sebab kita tidak dilatih begitu. Tidak semua pelakon dilatih menjadi penyanyi sedangkan kedua-duanya adalah kemahiran wajib dalam muzikal.

“Sebenarnya budaya itu sudah ada dalam Bangsawan atau Mak Yong yang mana pelakon mesti tahu bernyanyi. Namun, kerana dunia moden, pelakon televisyen tidak perlu menyanyi dan jika seseoran suka bernyanyi, dia lebih fokus menjadi penyanyi sahaja.

“Saya tidak nafikan ada pelakon boleh menyanyi, tetapi teater muzikal memerlukan tahap vokal yang lebih hebat,” kongsinya.

Teater muzikal Mansur & Liu turut mendapat khidmat barisan penulis skrip hebat iaitu Azrie Izham, Hamzah Roziah Adama, Roydy Rokidy dan Azielahaneem Idris yang juga pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Selain Aliff Aziz dan Melinda sebagai teraju utama, pementasan berkenaan turut menghimpunkan barisan pelakon pentas berpengalaman termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot dan Anas Ridzuan.

Pementasan tersebut akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya selama 11 hari, bermula 10 hingga 20 September depan.

Tiket ditawarkan pada harga antara RM88 hingga RM408 mengikut kategori tempat duduk dan mula dijual pada 10 Ogos, jam 3 petang ini. -UTUSAN

The post 30 skor lagu saya cipta dalam Mansur & Liu semua sedap-sedap – M.Nasir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved