
TULAR isu pelakon kedua tampan di Malaysia terpilih untuk membintangi dalam Teater Muzikal Mansur & Liu yang bakal dipentaskan di Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan, Aliff Aziz yang ditemui SinarPlus mengakui ia sekadar jenaka.
"Saya fikir Datuk M Nasir hanya bercanda dan bergurau saja. Saya mahu fokus bagaimana untuk hidupkan watak Sultan Mansur Shah.
"Ini tidak semestinya mengenai apa yang watak itu ada atau bagaimana rupa dan sebagainya," katanya.

Pemilik nama Mohammad Aliff Aziz, 35, itu juga mengakui melalui proses uji bakat membabitkan penilaian daripada segi nyanyian, lakonan dan pergerakan.
"Pada pendapat saya, di mata mereka, mungkin saya ada rupa yang mereka inginkan untuk watak Sultan Mansur Shah.
"Jadi, ia bermula dari situ dan sudah semestinya kami perlu menjalani uji bakat untuk nyanyian, lakonan dan pergerakan. Saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan, tetapi saya fikir ini adalah rezeki.
"Saya sangat berterima kasih kepada Datuk M Nasir dan Datin Marlia kerana beri kepercayaan untuk saya memainkan watak utama dalam pementasan Teater Muzikal Mansur & Liu ini," katanya.
Mengakui berdebar bekerjasama dengan M Nasir, juara Gegar Vaganza Musim Kelapan itu menganggap ia adalah peluang dan ruang terbaik untuk menimba ilmu.

"Beliau tidak lokek dengan ilmu. Apa saja yang saya tanya, akan diberikan pencerahan. Kadang-kadang ketika kami sedang menjalani latihan, saya tengok beliau tutup mata dan menghayati," tuturnya.
Terdahulu, M Nasir dalam sidang media berkata tentang pemilihan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz untuk memainkan peranan Sultan Mansur Shah kerana ketampanan
Pun begitu, beliau menegaskan berkaitan pemilihan pelakon kesemuanya melalui uji bakat.
"Semuanya melalui uji bakat. Artis-artis ini telah kami uji bakat dan kalau ditanya mereka dipilih, kami ada sebab-sebab sendirilah. Tapi, kalau kita tengok Aliff dan Melinda mereka sangat cocok untuk mengambil watak ini," ujarnya pada pada sidang media baru-baru ini.

"Semua yang dipilih kami nilai menerusi uji bakat. Kalau hendak tanya kenapa pelakon ini dipilih, semuanya ada sebab tersendiri," katanya.
Selain Aliff dan Melinda, Teater Muzikal Mansur & Liu turut membariskan pelakon hebat Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Teater muzikal itu dipentaskan oleh Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment dan bakal mempersembahkan 30 lagu dan skor muzik asli ciptaan M Nasir sendiri.






