30 tahun pegang MyKAS, 20 tahun bekerja masih gagal dapat MyPR

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 5:18 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 30 tahun pegang MyKAS, 20 tahun bekerja masih gagal dapat MyPR

PETALING JAYA – Selepas hampir seluruh hidupnya di Malaysia, seorang lelaki berusia 48 tahun masih berdepan persoalan mengenai status dokumentasinya apabila permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) ditolak dan dibatalkan atas alasan berkaitan status bapa kandungnya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pemohon yang dilahirkan di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 1978 itu mempunyai rekod kelahiran rasmi di Malaysia dan telah memegang MyKAS sejak 1996.

Katanya, sepanjang kira-kira 30 tahun, MyKAS pemohon telah diperbaharui sebanyak enam kali dan kekal sebagai dokumen pengenalan dirinya sehingga kini.

“Pemohon membesar dan mendapat pendidikan di Sabah dengan rekod persekolahan di Semporna dari sekitar 1985 hingga 1995 sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Pada 2005, beliau berpindah dari Semporna ke Johor bagi tujuan pekerjaan dengan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hishamuddin, pemohon bekerja dalam sektor perkilangan dari 2005 hingga 2010 sebelum bekerja sebagai Firewatchman dalam sektor minyak dan gas sejak 2010 sehingga kini.

“Beliau telah menjalani latihan serta memperoleh kelayakan termasuk Firewatch/Firewatchman Training, Firewatch Pass dan Oil & Gas Safety Passport, selain mempunyai rekod penglibatan dalam projek-projek sektor minyak dan gas.

“Pada 4 November 2024, pemohon mengemukakan permohonan MyPR, namun menerusi keputusan bertarikh 22 Januari 2026, permohonan tersebut ditolak dan dibatalkan atas alasan berkaitan status bapa kandung pemohon sebagai pemegang IMM13,” katanya.

Hishamuddin berkata, MHO tidak mempertikaikan bahawa permohonan MyPR tertakluk kepada undang-undang, peraturan, dasar dan prosedur yang berkuat kuasa, namun persoalannya ialah sama ada keseluruhan rekod kehidupan pemohon turut diberikan pertimbangan.

“Pemohon bukan sekadar mempunyai kaitan dengan Malaysia melalui satu dokumen. Beliau mempunyai 48 tahun sejarah kehidupan di Malaysia, daripada kelahiran dan pendidikan sehingga kepada pekerjaan dan pembinaan kehidupan sendiri.

“Beliau tidak meminta kewarganegaraan Malaysia diberikan secara automatik atau undang-undang diketepikan, sebaliknya hanya mahu permohonannya dinilai dengan mengambil kira siapa beliau, rekod kehidupannya dan keseluruhan fakta kes,” katanya.

Sehubungan itu, MHO merayu JPN menyemak semula keputusan berkenaan dan jika dikekalkan, memberikan alasan yang jelas secara bertulis termasuk asas undang-undang, dasar atau SOP serta saluran atau langkah seterusnya yang boleh diambil pemohon.

“Jika status bapa kandung merupakan halangan kepada permohonan MyPR, apakah sebenarnya hala tuju yang tersedia kepada pemohon selepas kira-kira 30 tahun memegang MyKAS, enam kali memperbaharui dokumen dan lebih 20 tahun bekerja di Malaysia?” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 30 tahun pegang MyKAS, 20 tahun bekerja masih gagal dapat MyPR appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved