Kerajaan Kota Medan memulangkan bantuan 30 tan beras yang disalurkan oleh Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada mangsa banjir selepas semakan mendapati penerimaan bantuan asing itu belum dibenarkan oleh kerajaan pusat Indonesia.
Datuk Bandar Medan, Rico Waas berkata keputusan tersebut dibuat selepas meneliti peraturan sedia ada serta mengadakan koordinasi dengan Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) dan Kementerian Pertahanan.
Menurut beliau, berdasarkan ketetapan kerajaan pusat, bantuan daripada negara asing tidak diterima buat masa ini walaupun bertujuan kemanusiaan. Susulan itu, bantuan berkenaan dipulangkan untuk dimanfaatkan di lokasi lain yang dibenarkan.
Baca juga:
Rico Waas menjelaskan keputusan memulangkan bantuan tersebut dibuat berlandaskan peraturan dan bukan secara sehala. Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada wujud sebarang teguran daripada Kerajaan Wilayah Sumatera Utara berhubung perkara itu.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan bantuan daripada UAE merangkumi 30 tan beras serta 300 pek bantuan yang mengandungi barangan keperluan asas, kelengkapan bayi dan kelengkapan ibadah solat, yang dirancang untuk diagihkan kepada penduduk terjejas banjir.
Presiden tegaskan Indonesia mampu tangani bencana
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memaklumkan beberapa pemimpin negara telah menghubunginya untuk menawarkan bantuan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di beberapa wilayah Sumatera.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia berkeupayaan menangani bencana berkenaan dengan sumber sendiri, sambil merakamkan penghargaan atas keprihatinan antarabangsa.
Sumber: Detik Sumut
The post 30 tan beras bantuan UAE dipulangkan, Indonesia enggan terima bantuan asing appeared first on The Reporter.



