
MEDAN – Sebanyak 30 tan bantuan beras yang disumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada mangsa banjir di Kota Medan dilaporkan telah dihantar pulang, lapor Kompas.com.
Datuk Bandar Medan, Rico Tri Putra Bayu Waas memaklumkan perkara itu ketika ditemui media, sambil menjelaskan keputusan berkenaan dibuat kerana Kerajaan Pusat Indonesia masih belum memutuskan untuk menerima bantuan daripada pihak luar.
“Kami telah memulangkan bantuan itu kepada Emiriah Arab Bersatu,” katanya ringkas.
Menurut beliau, tindakan tersebut diambil susulan teguran daripada Kerajaan Pusat serta Gabenor Sumatera Utara. Bagaimanapun, Rico enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.
“Kami telah menyemak peraturan dan prosedur penyampaian bantuan. Kami berurusan dengan BNPB dan Kementerian Pertahanan, dan hasil koordinasi bersama semua pihak mendapati bantuan ini tidak diterima,” jelasnya.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengakui telah dihubungi ramai pemimpin dan ketua negara yang menyatakan hasrat untuk menyalurkan bantuan kepada wilayah terjejas akibat bencana di Sumatera.
Namun, Prabowo menegaskan Indonesia masih berkeupayaan menguruskan situasi bencana di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
“Saya menerima banyak panggilan daripada para pemimpin dan ketua negara yang ingin menghantar bantuan. Terima kasih atas keprihatinan anda, kami mampu,” katanya ketika mesyuarat kabinet di Kompleks Istana Presiden.
Dalam perkembangan berkaitan, komuniti diaspora Indonesia turut meluahkan kebimbangan terhadap dasar kerajaan yang didakwa mengenakan cukai ke atas bantuan bencana dari luar negara untuk mangsa banjir di Sumatera, seperti dilaporkan Tempo. – The Malaysian Update
The post Bantuan 30 Tan Beras UAE Untuk Mangsa Banjir Medan Dipulangkan appeared first on The Malaysian Update.


