300 Kemenangan Aprilia: Legasi Terhebat Eropah Dalam Sejarah Grand Prix Dunia

19 Oct 2025 • 4:00 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Grand Prix Australia menjadi saksi satu detik bersejarah apabila Raúl Fernández menghadiahkan kemenangan ke-300 buat Aprilia Racing menerusi jentera RS-GP25, menjadikan pengeluar berpangkalan di Noale itu pengeluar Eropah paling berjaya dalam sejarah Kejuaraan Dunia FIM.

Detik gemilang ini bukan sekadar satu angka, tetapi simbol kehebatan, semangat, dan tradisi luar biasa yang telah menjadikan Aprilia antara nama paling disegani dalam dunia perlumbaan dua roda. Dari era 125cc hingga ke MotoGP, Aprilia membina legasi dengan kombinasi bakat, inovasi, dan keghairahan terhadap kemenangan.

Segalanya bermula pada tahun 1987, apabila Loris Reggiani mencipta kemenangan pertama dalam kelas 250cc.

Pada 1999, Valentino Rossi menandakan kejayaan ke-100 di Welkom, diikuti Mattia Pasini yang meraih kemenangan ke-200 di Sachsenring pada 2006. Kini, selepas hampir empat dekad penuh perjuangan, Raúl Fernández mengesahkan kemenangan ke-300 di Litar Phillip Island, membuka lembaran baru dalam sejarah Aprilia Racing.

Antara ikon yang pernah mewarnai perjalanan cemerlang ini ialah Valentino Rossi dengan 26 kemenangan, Max Biaggi dengan 23 kemenangan, dan Jorge Lorenzo dengan 17 kemenangan – semuanya melakar kisah hebat di atas jentera Aprilia.

Kejayaan ini membuktikan kekuatan falsafah Aprilia yang dibina atas bakat, semangat dan inovasi, melahirkan juara legenda dan mengukuhkan nama Itali dalam peta permotoran dunia.

Massimo Rivola, CEO Aprilia Racing, berkata:

“Tiga ratus kemenangan ini adalah ganjaran buat pengeluar Eropah paling berjaya sepanjang zaman, dan penghargaan kepada semua warga Noale yang telah membina sejarah serta masa kini kami. Ia juga pengiktirafan kepada Kumpulan Piaggio yang membolehkan kami menjadi pasukan Factory sejak 2022. Sejak itu, Aprilia Racing terus berkembang dengan banyak podium dan kemenangan.

Musim ini membuktikan kemajuan kami melalui prestasi luar biasa Marco Bezzecchi, serta kejayaan bersejarah Raúl Fernández yang menghadiahkan kemenangan ke-300 buat Aprilia. Semangat jenama ini memberi kami keyakinan untuk terus melangkah ke hadapan, mengejar kejayaan yang lebih besar.”

Aprilia Racing – satu kisah Itali yang penuh semangat, satu legasi yang kini terpahat sebagai lagenda.

The post 300 Kemenangan Aprilia: Legasi Terhebat Eropah Dalam Sejarah Grand Prix Dunia appeared first on TW Media.