
Rumah tradisional bukan sekadar binaan untuk berteduh, sebaliknya ia menyimpan cerita, identiti dan nilai kehidupan masyarakat yang diwarisi sejak turun-temurun.
Keunikan itu diketengahkan menerusi International SESMA Cultural Fusion Fiesta (iSCUFF) 2026 yang menghimpunkan hampir 300 pelajar daripada 24 sekolah dari lima negara bagi meraikan kepelbagaian budaya melalui pendekatan kreatif dan teknologi digital.
Program anjuran Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) itu memasuki tahun ketiga penganjurannya selepas dimulakan sebagai SESMA Cultural Fusion Fiesta (iSCUFF) pada 2024.
Guru Penyelaras iSCUFF 2026, Rosidah Othman berkata, penganjuran pada tahun ini membawa kelainan apabila program berkenaan diperluas ke peringkat antarabangsa, sekali gus menyaksikan namanya ditukar kepada iSCUFF merujuk kepada elemen antarabangsa.
“Seramai 24 pelajar dari luar negara turut mengambil bahagian mewakili Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, selain peserta dari Malaysia.
“Empat sekolah antarabangsa yang terlibat ialah SMAN 1 Purworejo dari Indonesia, Magtuod High School (Filipina), Pakphanang School (Thailand) serta Experimental School and Education Science (Vietnam),” katanya kepada K-Remaja di SESMA, Kuala Terengganu.
Kongsinya, program itu dirangka untuk memperluas pemahaman pelajar terhadap kepelbagaian budaya dunia melalui penyelidikan, persembahan kebudayaan dan penghasilan karya kreatif.
“Malah, pemilihan seni bina rumah tradisional sebagai tema utama tahun ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar menyelami warisan yang mencerminkan identiti masyarakat.
“Rumah tradisional dianggap sebagai penyimpan cerita atau ‘storykeepers’ kerana setiap reka bentuk, susun atur dan penggunaan bahannya mempunyai kaitan dengan kehidupan, adat serta nilai masyarakat yang membinanya,” katanya.
Pada masa sama, seni bina berkenaan memperlihatkan kebijaksanaan masyarakat terdahulu menyesuaikan kediaman dengan keadaan iklim dan persekitaran.
“Menerusi tema tahun ini, pelajar diberi peluang untuk mengkaji falsafah di sebalik seni bina rumah tradisional dan meneroka cara warisan itu boleh dipelihara melalui inovasi moden.
“Usaha ini dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti termasuk penyelidikan, pembinaan replika rumah tradisional, reka bentuk infografik serta penghasilan bahan digital menggunakan teknologi augmented reality (AR),” ujarnya.
Rosidah berharap, iSCUFF dapat terus menjadi platform global yang berkesan dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang mahir dalam teknologi digital serta mempunyai empati tinggi.

Beliau berharap, penganjuran pada tahun hadapan dapat diperluas dengan menarik lebih banyak penyertaan sekolah antarabangsa.
Sementara itu, wakil pelajar SESMA, Nur Ainun Nadhirah Mohd. Zaidi berkata, penyertaannya dalam iSCUFF 2026 memberikan pengalaman berbeza kerana dia berpeluang mempelajari warisan budaya dengan lebih dekat melalui aktiviti yang dijalankan.
“Program ini membuka peluang kepada kami untuk mengenali budaya sendiri dengan lebih mendalam selain mempelajari keunikan tradisi masyarakat lain.
“Saya juga dapat melihat bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memperkenalkan warisan kepada generasi muda supaya budaya ini terus dihargai,” katanya.
Sementara itu, Nurul Adzrianna Farhah Mohd. Azuan yang bertugas sebagai pegawai penghubung berkata, penglibatannya dalam program tersebut bukan sahaja membolehkannya menimba pengetahuan baharu, malah mempelajari cara mengendalikan peserta.
Katanya, tanggungjawab mengurus pergerakan pelajar dari Kolej Yayasan Saad, Melaka memberinya pengalaman berharga yang sukar dilupakan.
“Melalui fiesta ini, saya bukan sahaja dapat belajar tentang budaya, tetapi juga cara mengendalikan peserta dalam skala lebih besar.
“Tanggungjawab mengawal pergerakan pelajar memberi kenangan bermakna kepada saya. Bukan sahaja dapat kawan baharu, malah memperoleh pengetahuan baharu,” katanya.
Menurutnya, pengalaman itu membantunya meningkatkan kemahiran komunikasi dan keyakinan diri ketika berurusan dengan peserta sepanjang program berlangsung.
Nurul Adzrianna berkata, antara acara yang paling digemarinya adalah Malam Kebudayaan kerana setiap pelajar perlu mengenakan pakaian yang melambangkan budaya masing-masing.
The post 300 pelajar dari lima negara berhimpun rai kebudayaan appeared first on Kosmo Online.
