300 pelajar sekolah menengah sertai program celik kewangan MNRB

5 Oct 2023 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

300 pelajar sekolah menengah sertai program celik kewangan MNRB

diyana

05/10/2023 - 17:40

KUALA LUMPUR 5 Okt - Seramai 300 pelajar sekolah menengah di sekitar Bertam telah menyertai program celik kewangan, MNRB Ringgit Savvy, yang mendedahkan mereka kepada pengurusan wang bijak.

Bersempena dengan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang berlangsung sehingga 8 Oktober 2023, MNRB Holdings Berhad (MNRB) telah menganjurkan program terbabit di tapak pameran itu yang terletak di Setia Fontaines, Bertam, Pulau Pinang.

MNRB dalam satu kenyataan media hari ini berkata program tersebut, yang pertama kali diperkenalkan pada 2012, merupakan usaha syarikat untuk menyokong objektif MSAM iaitu mendidik masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

Menurut syarikat pegangan pelaburan itu, program itu bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai pengurusan kewangan seperti pelaburan, perlindungan takaful dan tanggungjawab kewangan lain, sekali gus mendidik dan menerapkan minat pengurusan wang yang bijak.

“MNRB Ringgit Savvy mengetengahkan permainan interaktif iaitu MNRB Ringgit Journey, bagi menerapkan realiti dan cabaran pengurusan kewangan selepas alam persekolahan kepada pelajar.

“Permainan ini menonjolkan soalan-soalan yang menguji keupayaan dan kepintaran pelajar dalam membuat keputusan berkaitan dengan kaedah pengurusan wang serta semangat kerjasama berpasukan.

“Selain itu, selari dengan tema MSAM 2023 iaitu STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), permainan interaktif ini juga menguji pelajar dengan pelbagai soalan dan cabaran yang berasaskan subjek-subjek ini,” katanya.

Bagi memupuk lagi minat pelajar, MNRB turut menampilkan selebriti jemputan iaitu Naim Daniel yang telah berkongsi pengalaman beliau dalam pengurusan wang sejak di bangku sekolah sehingga kini, di samping memberi motivasi tentang kepentingan menjauhi sikap buli.

image is not available
Wakil juara SMK Sama Gagah (tiga dari kanan), dan SMK Bandar Baru Perda (tujuh dari kanan)

Sementara itu, SMK Sama Gagah dan SMK Bandar Baru Perda telah dinobat sebagai juara program pada tahun ini, menjadikan mereka juara ke-10 program MNRB Ringgit Savvy sejak ia mula diperkenalkan.

MSAM merupakan pameran pendidikan pelaburan tahunan yang dianjurkan oleh syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak tahun 2000 untuk mendidik masyarakat Malaysia mengenai pelaburan bijak dan perancangan kewangan yang berhemat. - DagangNews.com