300 projek RM50 juta ke bawah siap

LocalPolitics
8 Jul 2026 • 4:19 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

300 projek RM50 juta ke bawah siap

Kota Kinabalu: Sabah berjaya melaksanakan hampir 300 projek Persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah, sekali gus membuktikan keupayaan negeri itu mengurus projek pembangunan secara sendiri dalam usaha merealisasikan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).

Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus, berkata sejak Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) hingga kini, Sabah telah mengendalikan kira-kira 295 projek dalam kategori berkenaan.

“Sejak Rolling Plan 3 RMK-12 sehingga hari ini, Sabah telah mengendalikan kira-kira 295 projek bernilai RM50 juta dan ke bawah.

“Ini membuktikan Sabah telah membina kepakaran serta mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk menguruskan projek-projek ini secara sendiri. Ia menunjukkan kita mempunyai keupayaan dari segi kapasiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada Forum Sankalpa Sabah 2030 mengenai pelaksanaan strategi SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Sejak 2023 di bawah Kerajaan Perpaduan Madani, Sabah diberi kuasa mengendalikan projek Persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah. Di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa itu kepada kerajaan negeri bagi membolehkan projek dilulus dan diuruskan tanpa melalui saluran birokrasi Persekutuan di Semenanjung.

Ridhwan berkata, peningkatan keupayaan pelaksanaan projek itu menyokong matlamat SMJ 2.0, iaitu pelan hala tuju pembangunan strategik Sabah bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang meneruskan usaha pemulihan dan penstabilan di bawah SMJ 1.0.

Katanya, SMJ 2.0 memberi tumpuan kepada pengukuhan daya saing ekonomi negeri, mempercepat pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi tiga jabatan teknikal, iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Air Negeri Sabah.

Menurutnya, isu kekurangan kapasiti sebelum ini berjaya diatasi menerusi perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri yang meningkatkan kapasiti sumber manusia bagi menampung pertambahan projek.

Beliau turut mencadangkan supaya urusan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti diselesaikan lebih awal sebelum projek diserahkan kepada JKR bagi membolehkan pembinaan dimulakan tanpa kelewatan.

Katanya, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah menjadi contoh projek yang mengalami kelewatan pada peringkat awal akibat isu persediaan sedemikian.

“Penyelarasan proses ini akan mengukuhkan lagi keupayaan Sabah melaksanakan projek infrastruktur dengan lebih cekap pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Ridhwan berkata Sabah turut memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar bagi memodenkan perkhidmatan bekalan air, jalan raya dan elektrik selaras dengan agenda inovasi di bawah SMJ 2.0.

Beliau berkata, Sistem Pengesanan Lubang Jalan Berasaskan AI yang sedang diperkenalkan mampu menggantikan kaedah pemeriksaan manual dengan kaedah yang lebih pantas dan tepat dalam mengenal pasti kerosakan jalan.

“Jika AI digunakan pada laluan kenderaan, sistem itu boleh mengukur saiz dan kedalaman lubang jalan serta menentukan tindakan yang perlu diambil oleh JKR,” katanya.

Selain itu, kementerian turut memperkenalkan Sistem Pemantauan Kebocoran Aktif Termaju bagi mengesan kebocoran bekalan air yang tidak kelihatan di permukaan, susulan peningkatan tekanan air selepas projek Telibong 2 siap sehingga menyebabkan beberapa paip lama pecah.

Dalam sektor bekalan elektrik, katanya, Sabah Electricity telah memasang kira-kira 6,500 meter pintar bagi membantu pengguna memantau penggunaan dan kos elektrik dengan lebih berkesan, manakala perkhidmatan pembetungan dipertingkat menerusi penggunaan teknologi robotik.

Beliau berkata, kementerian juga sedang meneroka penggunaan semula air terawat bagi kegunaan industri dan landskap, selain memanfaatkan tenaga solar untuk mengendalikan loji rawatan air dan pembetungan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved