
KATHMANDU – Sekurang-kurangnya 31 orang disahkan terkorban manakala hampir 400 yang lain masih hilang selepas kejadian banjir kilat dan tanah runtuh melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet, meranapkan kawasan petempatan serta merosakkan fasiliti perhubungan dan infrastruktur utama, lapor stesen penyiaran BBC.
Bencana yang berlaku pada awal pagi hari ini berlaku di daerah Rasuwa di utara ibu negara Nepal.
Laporan awal mendapati kejadian berpunca daripada gempa bumi yang mencetuskan runtuhan salji, sebelum leburan ais dan salji mengalir deras merentasi Sungai Bhote Koshi.
Operasi menyelamat sedang dijalankan di kedua-dua belah sempadan dan seramai 88 orang telah berjaya diselamatkan setakat ini, menurut tentera Nepal.
Media rasmi di China, yang mengawal Tibet, menyatakan terdapat korban yang signifikan manakala pegawai Nepal menjangkakan ‘kerugian dan kemusnahan pada skala yang besar’.
Lembaga Pelancongan Nepal menyatakan usaha sedang dijalankan untuk mengesan lokasi 291 pelancong dan 93 warga Nepal, termasuk pemandu pelancong, yang diketahui berada di kawasan terjejas.
Ini termasuk 12 pengembara dari Britain, Amerika Syarikat, Malaysia, Afrika Selatan, dan India.
Beberapa kawasan di hilir Sungai Bhote Koshi berada dalam keadaan berjaga-jaga, manakala laluan jalan raya, komunikasi, dan bekalan elektrik di wilayah tersebut terputus.
Pihak berkuasa mengesahkan jalan utama ke Kathmandu telah ditutup.
Video yang disahkan dari Nepal menunjukkan sebuah jambatan dihanyutkan dan bangunan bertingkat runtuh akibat rempuhan air banjir.
BBC Verify telah mengenal pasti lokasi klip video berkenaan di kawasan Trishuli Bazaar, Daerah Nuwakot dalam Wilayah Bagmati, kira-kira 25 kilometer (km) ke barat laut Kathmandu.
Video tersebut menunjukkan Sungai Trishuli tiba-tiba melimpah dengan kuantiti air yang amat besar, meningkat secara drastik dari segi isi padu dan kelajuan serta dipenuhi mendapan.
Sekitar 40 saat dalam klip itu, bebanan banjir kilat meragut jambatan daripada tiang pemegangnya dan menghanyutkannya dengan pantas ke hilir sungai.
Beberapa saat kemudian, beberapa buah bangunan turut runtuh. – AGENSI
The post 31 maut, hampir 400 hilang dalam banjir kilat di Nepal appeared first on Kosmo Digital.

![Tular Klip Banjir Sempadan Nepal-China, Lebih 150 Mangsa Maut & 17 Warga Malaysia Dikhuatiri Hilang [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/banjir-Nepal-China.jpg?t=1787804909)
