31 minit Pearly Tan-M Thinaah tumpaskan pasangan Indonesia

13 Sep 2024 • 5:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pearly Tan-M Thinaah. Gambar fail

[DIKEMAS KINI] BEREGU utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah hanya mengambil masa 31 minit untuk menewaskan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi 21-14, 21-13, pada aksi suku akhir Kejonanan Badminton Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum hari ini.

Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan pada aksi separuh akhir esok.

Ha Na-So Hee selaku beregu pilihan pertama kejohanan mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-8, 21-18.

Pearly-Thinaah yang melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 mengalahkan Ha Na-So Hee 21-18, 21-13 pada saingan separuh akhir Terbuka Korea bulan lepas, tetapi terlepas peluang untuk merangkul gelaran juara selepas tewas 12-21, 11-21 kepada satu lagi beregu wanita tuan rumah Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, pada perlawanan akhir.

Sementara itu, pasangan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, berdepan cabaran sengit untuk mara ke separuh akhir apabila berjaya menewaskan pasangan China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, dengan keputusan 21-17, 10-21, 21-10.

Menanti pasangan pilihan keempat ini di separuh akhir adalah pasangan China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang sebelum itu menewaskan satu lagi pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, 21-13, 21-11, dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan cabaran ke separuh akhir selepas tersingkir di tangan pasangan Indonesia Sabar Karyaman Gutaman-Moh Reza Pahlevi Isfahani 18-21, 15-21.

Turut menerima nasib yang sama, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon, terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan tuan rumah Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 17-21. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved