31 syarikat pengangkutan dikenakan tindakan mahkamah, denda RM463,000

LocalBusiness & Finance
18 May 2026 • 4:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 31 syarikat pengangkutan dikenakan tindakan mahkamah, denda RM463,000
Hamidi ketika sidang akhbar pada Isnin.

KUALA LUMPUR — Sebanyak 31 syarikat pengangkutan telah dikenakan tindakan mahkamah dengan jumlah denda RM463,000 atas pelbagai kesalahan setakat 11 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam berkata, sebuah syarikat yang disabitkan kesalahan membawa muatan berlebihan turut dikenakan denda sebanyak RM85,000.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha dan syarikat pengangkutan yang mementingkan laba perniagaan semata-mata sehingga merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“JPJ WPKL ingin memberi peringatan tegas kepada semua pengusaha dan syarikat pengangkutan bahawa keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan undang-undang dan keselamatan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Hamidi berkata, syarikat yang didapati terus melakukan pelanggaran undang-undang secara berulang boleh berdepan tindakan lebih keras termasuk sitaan kenderaan, perintah lucut hak oleh mahkamah serta tindakan terhadap permit dan lesen operasi syarikat.

Terdahulu, JPJ WPKL melalui Bahagian Penguat Kuasa melaksanakan Operasi Khas Lebih Muatan di sekitar ibu negara yang bermula pada 15 Mei hingga 18 Mei ini.

Fokus utama operasi disasarkan kepada laluan utama keluar masuk kenderaan perdagangan, kawasan pembinaan, tapak projek pembangunan serta kawasan perindustrian yang berisiko tinggi berlaku pelanggaran syarat teknikal dan kesalahan lebih muatan.

Mengulas lanjut mengenai statistik penguatkuasaan dari Januari hingga pertengahan Mei, Hamidi berkata, sebanyak 65,016 kenderaan perdagangan telah diperiksa di sekitar ibu kota.

“Daripada jumlah itu, 3,082 kenderaan telah diambil tindakan manakala 5,329 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan serta pelanggaran syarat Lesen Kenderaan Motor dan Keperluan Tahap Perkhidmatan.

“Dalam operasi ini juga, JPJ WPKL turut menahan 22 kenderaan yang didapati melakukan kesalahan serius, termasuk melibatkan lapan pemandu warga asing dan 14 pemandu tempatan,” katanya.

Beliau berkata, selain tindakan saman dan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), JPJ WPKL tidak akan teragak-agak memohon perintah lucut hak terhadap kenderaan yang mengulangi kesalahan berat.

“Kesalahan lebih muatan bukan sahaja merosakkan jalan raya, malah meningkatkan risiko kemalangan. Penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan demi keselamatan pengguna jalan raya dan menjaga integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya diseru untuk menyalurkan aduan berserta butiran lengkap melalui aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau menerusi e-mel rasmi di aduantrafik@jpj.gov.my.