32,000 pelajar China, apa cerita sebenarnya?

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 32,000 pelajar China, apa cerita sebenarnya?
ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa terdapat 32,546 pelajar dari China sedang mengikuti pengajian di IPTA di negara ini.

DALAM politik, angka boleh menjadi senjata, namun angka tanpa konteks juga boleh menjadi senjata yang mengelirukan.

Dakwaan mengenai lebih 32,000 pelajar China di universiti awam baru-baru ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.

Persoalan sama ada peluang anak tempatan semakin terhakis wajar dibangkitkan, tetapi jawapannya tidak boleh dicari melalui satu angka semata-mata.

Hakikatnya, angka itu tidak menceritakan keseluruhan keadaan. Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan bahawa daripada lebih 1.34 juta pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, pelajar antarabangsa hanya sekitar 169,000 orang atau 12.6 peratus.

Di universiti awam pula, 96.56 peratus pelajar prasiswazah ialah rakyat Malaysia, manakala pelajar antarabangsa hanya 3.44 peratus. Majoriti pelajar asing mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah.

Perbezaan inilah yang membezakan antara fakta dan persepsi. Sesuatu angka mungkin benar, tetapi tanpa penjelasan mengenai komposisi, kuota dan dasar pengambilan, ia boleh membentuk kesimpulan yang tidak tepat.

Dalam masa sama, kerajaan juga perlu lebih proaktif menjelaskan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi. Penjelasan tidak seharusnya hanya muncul selepas tercetus polemik. Lebih penting, rakyat perlu memahami matlamat sebenar dasar itu.

Malah, kajian terbaharu Institut ISEAS-Yusof Ishak menegaskan bahawa kejayaan Malaysia sebagai hab pendidikan global tidak boleh diukur melalui pertambahan pelajar antarabangsa semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan kepentingan pelajar tempatan, kebolehpasaran graduan dan keperluan ekonomi negara.

Malaysia memerlukan pelajar antarabangsa untuk memperkukuh penyelidikan, meningkatkan reputasi akademik dan mengembangkan jaringan global.

Namun, dalam mengejar agenda pengantarabangsaan itu, hak serta peluang pelajar tempatan mesti kekal menjadi keutamaan.

Akhirnya, rakyat berhak mendapat gambaran yang menyeluruh, bukan sekadar angka yang menyokong sesuatu naratif. Dalam soal pendidikan, fakta yang tidak lengkap boleh mengelirukan, walaupun angka yang dipetik itu benar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved