32 ekor lembu curi 'disorok' dalam kebun kelapa sawit

19 Jun 2026 • 12:12 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 32 ekor lembu curi 'disorok' dalam kebun kelapa sawit
Saari berkata, polis menahan lima suspek termasuk seorang wanita sebelum membawa kepada penemuan 32 lembu di kawasan kebun kelapa sawit.

PASIR PUTEH – Kehilangan lembu milik penduduk kampung sekitar Bachok akhirnya terjawab apabila polis berjaya menemui semula 32 ekor ternakan itu dalam keadaan ditambat di pokok di kebun kelapa sawit, hasil operasi khas awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Pasir Puteh menjalankan operasi sekitar jam 3 hingga 4 pagi di dua lokasi berasingan di Bachok.

“Dalam operasi tersebut, polis menahan lima suspek termasuk seorang wanita di Kampung Telong dan Cherang Sepulai sebelum membawa kepada penemuan 32 lembu di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Gong Nyatoh.

“Kesemua lembu ditemui dalam keadaan diikat pada pokok kelapa sawit menggunakan tali,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ternakan berkenaan dipercayai milik penduduk kampung sekitar yang sebelum ini membuat laporan kehilangan haiwan itu.

“Polis kini sedang menjalankan proses pengesahan pemilikan serta mengesan pemilik sah semua lembu terbabit,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti rangkaian serta modus operandi kumpulan terbabit.