KUALA LUMPUR - Seramai 327 pemilik hartanah di Kampung Sungai Baru dijangka bergelar jutawan apabila projek pembangunan semula Residensi Kelarai siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Urusan KL City Gateway Sdn Bhd, Abdul Hadi, yang menyifatkan pembangunan berkenaan bukan sahaja bakal mengubah landskap kawasan tersebut, malah meningkatkan taraf ekonomi penduduk asal yang terlibat.
Menurut beliau, projek pembangunan semula itu mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) minimum sebanyak RM2 bilion dan diyakini mampu memberikan pulangan besar kepada pemilik hartanah.
"Di Kampung Sungai Baru, misi saya adalah memastikan 327 pemilik di sini bergelar jutawan apabila projek ini siap kelak.
"Berdasarkan harga pasaran semasa sekitar RM850 sekaki persegi, unit gantian yang bakal diterima pemilik dijangka mempunyai nilai pasaran sekurang-kurangnya RM1 juta seunit," katanya pada majlis cabutan undi Residensi Kelarai di sini.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman pembangunan semula yang dilaksanakan syarikat berkenaan di Kerinchi sebelum ini yang menyaksikan 475 pemilik berjaya meningkatkan nilai aset mereka sehingga bergelar semi-jutawan.
Menurutnya, selain menawarkan unit kediaman baharu, projek Residensi Kelarai turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden bertaraf lima bintang termasuk sauna, bilik wap dan jakuzi.
Tambah beliau, kedudukan strategik projek itu turut memberi kelebihan kepada penduduk dengan akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), laluan pejalan kaki ke Pintasan Saloma serta stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, pihak pemaju komited membantu pemilik yang terlibat sepanjang tempoh pembinaan menerusi bantuan sewa bulanan antara RM1,100 hingga RM2,500 kepada mereka yang berpindah ke kediaman transit.
"Kami juga memperkenalkan skim bantuan yuran penyelenggaraan yang unik bagi membantu penduduk menyesuaikan diri dengan kehidupan di kediaman moden nanti.
"Bagi tahun pertama, penduduk akan menikmati pengecualian penuh yuran penyelenggaraan. Untuk sembilan tahun berikutnya, mereka hanya perlu membayar kira-kira 30 peratus atau sekitar RM120 sebulan, manakala baki 70 peratus akan ditanggung pihak pemaju," katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan penduduk asal dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa tanpa dibebankan dengan kos penyelenggaraan yang tinggi.
Menyentuh perkembangan semasa projek, beliau memaklumkan kerja tanah fizikal dijangka bermula sekitar Ogos atau September ini selepas proses pengalihan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan paip air utama di tapak projek selesai.
"Kerja pengalihan utiliti utama dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan dan kami menyasarkan projek ini siap sepenuhnya menjelang tahun 2030," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus menyifatkan majlis cabutan undi tersebut sebagai satu lagi detik bersejarah dalam usaha merealisasikan pembangunan semula kawasan berkenaan.
Menurutnya, proses cabutan undi itu membuktikan projek yang telah lama dinantikan penduduk terus bergerak ke hadapan hasil kerjasama dan komitmen semua pihak.
"Majlis hari ini bukan sekadar proses penentuan unit, tetapi satu lagi langkah penting yang membuktikan Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru terus bergerak ke hadapan.
"Ia mencerminkan kemajuan nyata hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dalam merealisasikan pembangunan semula yang telah lama dinantikan oleh para pemilik," katanya.
**media[3551443]**
Beliau turut berharap proses pembinaan dapat berjalan lancar agar penduduk dapat kembali mendiami Kampung Sungai Baru dalam tempoh 48 bulan seperti yang dijanjikan.
"Majlis ini membuktikan projek terus bergerak ke hadapan hasil sokongan padu dan kesabaran penduduk. Kami berharap pemaju dapat memulakan pembinaan dengan lancar agar kami dapat kembali semula ke Kampung Sungai Baru dalam tempoh yang dijanjikan," katanya.
Dalam perkembangan sama, KL City Gateway Sdn Bhd merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), peguam persatuan, peguam pemaju, wakil Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru serta semua pihak yang hadir sebagai pemerhati bagi memastikan proses cabutan undi dilaksanakan secara telus dan lancar.
Pelaksanaan majlis tersebut dilihat sebagai satu lagi pencapaian penting ke arah merealisasikan pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada pemilik hartanah dan komuniti setempat, sekali gus membuka lembaran baharu kepada kawasan bersejarah di tengah ibu negara.






