341 ditahan dalam serbuan sindiket pusat panggilan

11 Jun 2026 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

341 ditahan dalam serbuan sindiket pusat panggilan

Kota Kinabalu: Polis menahan 341 individu dan merampas aset bernilai lebih RM1.1 juta dalam 12 operasi di bawah Op Pelican yang menyasarkan sindiket pusat panggilan (calling centre) di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan antara Januari hingga Jun tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata operasi yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu dijalankan di Kota Kinabalu, Labuan, Tawau, Sandakan dan Penampang hasil risikan serta pemantauan berterusan.

Menurutnya, siasatan mendapati sindiket terbabit terlibat dalam pelbagai jenayah komersial termasuk skim pelaburan tidak wujud, penipuan pelaburan saham palsu, penipuan cinta, tawaran pinjaman palsu, penyamaran sebagai pegawai polis, perjudian dalam talian dan aktiviti penipuan rentas sempadan.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram, KakaoTalk, Line, Band dan pelbagai platform media sosial lain untuk memperdaya mangsa sebelum mengarahkan mereka memindahkan wang ke akaun yang dikawal sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Rabu.

Jauteh berkata mangsa yang disasarkan bukan sahaja rakyat Malaysia malah turut melibatkan individu dari Korea Selatan, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Brazil, Hong Kong dan Thailand.

“Seramai 341 suspek berusia antara 17 hingga 60 tahun ditahan dalam Op Pelican terdiri daripada 305 lelaki dan 36 wanita.  Daripada jumlah itu, 303 adalah warga China, 27 rakyat Malaysia, sembilan warga Vietnam, seorang warga Taiwan dan seorang warga Laos.

“Siasatan mendapati suspek memainkan pelbagai peranan termasuk penyelia operasi, petugas khidmat pelanggan, pengatur cara sistem, pengurus projek, pentadbir kewangan, penghantar wang serta individu yang berkomunikasi dengan mangsa,” katanya.

Polis turut merampas 1,109 telefon bimbit, 128 komputer dan unit desktop, 20 komputer riba, 18 peranti internet, wang tunai RM210,265, dokumen kewangan, kad SIM, skrip penipuan serta pelbagai peralatan lain, menjadikan keseluruhan 1,542 barangan dirampas.

“Keberhasilan Op Pelican membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam membanteras jenayah komersial dan sindiket pusat panggilan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, JSJK Sabah akan terus mempergiatkan usaha risikan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan negeri ini tidak dijadikan pangkalan operasi sindiket penipuan tempatan mahupun antarabangsa.