Alza jadi 'keldai dadah', syabu hampir RM8 juta dirampas

10 Jun 2026 • 2:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Alza jadi 'keldai dadah', syabu hampir RM8 juta dirampas
Jauteh (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam beberapa serbuan Ops Bayu 9 ketika sidang akhbar di IPK Sabah.

KOTA KINABALU – Taktik sindiket dadah menyeludup syabu yang disimpan dalam kenderaan yang dibawa dari Semenanjung ke Sabah melalui laluan laut gagal apabila sebanyak 159.8 kilogram (kg) dadah bernilai RM7.9 juta dirampas dalam Op Bayu 9.

Dalam beberapa serbuan berasingan pada 22 Mei lalu, tiga individu termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 53 tahun turut ditahan di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah dan sebuah hotel di sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki yang sedang mengangkat kotak sebelum bertindak melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah.

“Pasukan serbuan berjaya menahan lelaki tersebut dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sembilan bungkusan dadah dengan berat 9.10 kg syabu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, susulan tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah hotel di pusat bandar raya yang seterusnya menahan dua individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

“Dalam serbuan seterusnya, pihak kita berjaya merampas 68 bungkusan dadah jenis syabu dengan berat 69.8 kg di sebuah rumah di Inanam.

“Pada jam 11.10 malam, hasil siasatan lanjut terhadap lelaki pertama, pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di kawasan parkir dan berjaya menemui 79 bungkusan dadah seberat 80.9 kg syabu.

“Kesemua dadah tersebut ditemukan secara tersusun dan disembunyikan pada ruang dalaman kereta di bahagian pintu penumpang, tempat duduk belakang dan ruang simpanan belakang kenderaan tersebut,” katanya.

Diminta mengulas peranan setiap suspek dalam tangkapan itu, Jauteh memaklumkan wanita yang ditahan berperanan sebagai orang tengah yang bertanggungjawab mengurus kegiatan tersebut.

“Apabila suspek menerima tempahan dan wang deposit, dia akan menempah bekalan daripada Semenanjung. Jadi, apabila sampai di sini, suspek akan menyerahkannya kepada beberapa individu lain untuk diedarkan.

“Dua lagi suspek bertindak sebagai individu yang mengedarkan dadah berkenaan kepada pembeli seterusnya dan kita percaya sebahagian dadah diedarkan ke pasaran tempatan manakala sebahagian lagi untuk pasaran luar negara.

“Kenderaan Perodua Alza yang digunakan dipercayai milik individu lain dan dijadikan sebagai ‘keldai dadah’, namun perkara itu masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

Jauteh berkata, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.