35 warga asing tanpa izin ditahan di Taman Nagasari

13 Feb 2023 • 5:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BUKIT MERTAJAM: Seramai 35 lelaki warga asing tanpa izin dari Nepal dan Myanmar ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa di kawasan perumahan Taman Nagasari, Perai di sini semalam.

Operasi bersepadu yang bermula 3 petang dan tamat empat jam kemudian itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) dan turut disertai Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang.

Menurut kenyataan IPD SPT menerusi laman Facebooknya, pihak polis bersama beberapa agensi menggempur kawasan perumahan Taman Nagasari ekoran tular dalam media sosial berhubung kebanjiran warga asing yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

“Operasi bersepadu disertai 214 pegawai dan anggota polis bersama penguat kuasa agensi lain itu diketuai Ketua Polis Daerah SPT ACP Tan Cheng San bagi memantau dan menguatkuasakan tindakan ke atas kesalahan yang menyalahi undang-undang,“ menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hasil daripada operasi tersebut, pihak polis menahan dua lelaki tempatan berkaitan kes jenayah dan 35 lelaki warga asing, yang ditahan berusia 20 hingga 40-an.

“Kehadiran warga asing di kawasan tersebut dikatakan menimbulkan rasa kegusaran dan tidak selamat kalangan penduduk setempat. Pihak berkuasa akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa dalam usaha memantau dan menguatkuasakan tindakan undang-undang dan dalam masa sama menjaga ketenteraman awam,“ menurut kenyataan itu. -Bernama