
TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter melanda berhampiran Tokyo awal pagi Ahad, menyebabkan sekurang-kurangnya 37 orang cedera dan menjejaskan perkhidmatan pengangkutan di kawasan metropolitan itu.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata gempa berlaku di selatan wilayah Ibaraki pada pukul 2 pagi waktu tempatan, dengan kedalaman 68 kilometer.
Gegaran kuat dirasai di Tokyo dan kawasan sekitarnya, menyebabkan sistem amaran bencana mengeluarkan pengumuman serta membunyikan siren, selain menghantar notifikasi kepada telefon pintar penduduk di kawasan terjejas.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa berkenaan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan gempa itu berukuran 5.8 skala Richter.
Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana Jepun berkata, sekurang-kurangnya 37 orang mengalami kecederaan ringan.
Gegaran turut menyebabkan perkhidmatan kereta api di Tokyo dan kawasan sekitarnya terganggu pada pagi Ahad, menurut East Japan Railway Company.
Sebuah bangunan di Saitama, utara Tokyo, turut mengalami kerosakan ringan, manakala pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada paip air utama yang pecah di sebuah kawasan kejiranan di ibu negara mempunyai kaitan dengan gempa itu.
Sementara itu, JMA memberi amaran risiko tanah runtuh meningkat selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan pada Sabtu, yang mungkin menyebabkan tanah menjadi longgar akibat gegaran.
Agensi itu turut memberi amaran kemungkinan berlaku gegaran susulan kuat dalam beberapa hari akan datang.
The post 37 cedera, gempa bumi 5.9 skala Richter gegar Jepun appeared first on Utusan Malaysia.




