Rumah tahan gempa selamat daripada gegaran 7.7

19 Aug 2026 • 6:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rumah tahan gempa selamat daripada gegaran 7.7

JAKARTA: Tiga rumah prototaip tahan gempa yang dibangunkan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia (BRIN) kekal kukuh selepas gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter serta beberapa gegaran susulan melanda Nusa Tenggara Timur.

Ketiga-tiga rumah itu dibina pada 2021 dan 2022 sebagai sebahagian daripada kajian pembinaan tahan gempa yang dimulakan Agensi Penilaian dan Aplikasi Teknologi sebelum diteruskan BRIN.

Jurutera BRIN, Vian Marantha Haryanto, berkata rumah berkenaan direka khusus untuk kawasan berisiko tinggi gempa bumi seperti Nusa Tenggara Timur.

“Rumah ini menggunakan teknologi pembinaan tahan gempa yang direka untuk kawasan berisiko bencana seperti Nusa Tenggara Timur. Hasilnya menunjukkan reka bentuk ini mampu melindungi struktur dan yang paling penting, penghuninya,” katanya semalam.

Menurut BRIN, tiada keretakan struktur dikesan pada dinding, tiang atau asas ketiga-tiga rumah berkenaan.

Kerosakan hanya membabitkan bahagian kosmetik, termasuk jubin bilik mandi yang tercabut atau pecah akibat gegaran.

Walaupun pemeriksaan di lapangan mendapati struktur rumah berkenaan kekal kukuh, BRIN akan menjalankan ujian makmal lanjut bagi pengesahan teknikal menggunakan kaedah ujian kitaran mengikut piawaian Indonesia.

Kaedah ujian makmal itu telah disediakan dan dijadualkan dilaksanakan pada 2026.

“Gempa bumi besar yang melanda Nusa Tenggara Timur pada 15 Ogos menjadi ujian lapangan terhadap teknologi ini,” kata Vian.

Rumah berkenaan menggunakan teknologi seismik berasaskan galas getah bagi meredam getaran gempa bumi yang dibangunkan Pusat Penyelidikan Komposit dan Biomaterial BRIN menggunakan getah asli atau polimer elastik.

“Teknologi seismik berasaskan galas getah memisahkan struktur bahagian bawah dan atas bangunan, sekali gus membantu menyerap daya ricih ketika gempa bumi dan mengurangkan gegaran yang dipindahkan ke struktur,” katanya.

Rumah yang dibangunkan BRIN itu turut menggunakan konsep modular, menjadikan inovasi berkenaan berpotensi dijadikan model bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula rumah di kawasan yang terdedah kepada bencana.

BRIN menggalakkan penggunaan model rumah tahan gempa itu secara lebih meluas, bukan sahaja di Nusa Tenggara Timur tetapi juga di kawasan lain di Indonesia yang berisiko dilanda gempa bumi.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan kediaman, selain mengurangkan risiko kerosakan bangunan apabila gempa bumi berlaku pada masa hadapan.- ANTARA

The post Rumah tahan gempa selamat daripada gegaran 7.7 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved