
PETALING JAYA: Lebih 4,000 pelarian dengan majoritinya etnik Rohingya kini sudah didaftarkan kerajaan menerusi projek perintis Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi mengenal pasti jumlah sebenar, profil dan lokasi mereka di negara ini.
Data yang dikumpulkan itu kemudiannya turut membuka ruang kepada kerajaan menilai kemungkinan pelarian yang dikenal pasti dan melepasi tapisan keselamatan dipertimbangkan untuk mengisi keperluan tenaga kerja asing negara yang dianggarkan mencecah 2.2 juta orang.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, namun semua pelarian perlu terlebih dahulu melalui proses penentuan status pelarian termasuk sesi temu duga oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia.
Katanya, langkah yang diambil menerusi DPP tersebut penting berikutan kerajaan tidak mempunyai data tepat mengenai jumlah pelarian yang berada di negara ini.
“Kebanyakan mereka juga memasuki negara ini secara tidak sah melalui laluan yang tidak menggunakan pintu masuk sah dan tanpa dokumen.
“Daripada jumlah yang telah didaftarkan itu, majoritinya adalah etnik Rohingya manakala terdapat juga pelarian dari negara lain seperti Somalia namun jumlahnya amat kecil.
“Kerajaan menyasarkan proses pendaftaran pelarian terhadap individu berkenaan dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini sebelum diperluaskan kepada pelarian yang berada di luar depoh,” katanya ketika ditemubual dalam program audio siar MMTV PodX terbitan Kumpulan Utusan.
Dalam pada itu, Zakaria memberitahu, kerajaan mempunyai perancangan untuk meneliti kemungkinan pelarian yang telah dikenal pasti untuk diserapkan ke pasaran tenaga kerja bagi mengisi keperluan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor.
“Langkah ini selari dengan keperluan Malaysia yang dianggarkan memerlukan kira-kira 2.2 juta tenaga kerja asing.
“Jika jumlah pelarian yang berada di negara ini dapat dikenal pasti, tenaga kerja sedia ada dalam kalangan pelarian boleh dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan dalam sektor yang memerlukan tenaga kerja asing, sekali gus mengurangkan keperluan membawa masuk tenaga kerja baharu,” jelasnya.
Beliau menegaskan, Malaysia bukan negara penerima pelarian dan tidak menandatangani Konvensyen Pelarian justeru tidak mengiktiraf status pelarian dari sudut dasar negara.
Bagaimanapun katanya, atas dasar kemanusiaan, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar mereka pulang sekiranya keselamatan mereka di negara asal terancam.
“Jabatan Imigresen sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan akan terus menggesa agensi itu memastikan pelarian yang telah berdaftar serta memiliki kad UNHCR ditempatkan di negara ketiga dengan segera.
“Usaha penempatan semula itu dilaksanakan secara berterusan dengan penghantaran ke negara ketiga dibuat setiap tahun namun bilangannya masih kecil,” ujarnya.
Tambah Zakaria, pihaknya telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan UNHCR dan menerima jaminan bahawa usaha penempatan semula berkenaan akan diteruskan.
Pada masa sama katanya, terdapat negara yang meratifikasi konvensyen pelarian tetapi enggan menerima sebahagian kumpulan pelarian termasuk Amerika Syarikat dan Australia.
“Amerika Syarikat misalnya, boleh menerima pelarian selain Rohingya. Jadi, agak sukar untuk mereka dihantar ke negara ketiga,” tegasnya.
Sementara itu, Zakaria menafikan dakwaan bahawa etnik Rohingya bebas melakukan apa sahaja tanpa dikenakan tindakan undang-undang sebaliknya mereka sebagai pemegang kad UNHCR hanya diberikan pengecualian bagi dua perkara iaitu berada di negara ini tanpa pas atau dokumen perjalanan serta kesalahan tinggal lebih masa.
“Selain dua perkara tersebut, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang negara dan boleh dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan. Sebagai contoh, individu yang didapati menjadi ketua sindiket penyeludupan Rohingya masuk ke Malaysia tetap boleh ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Ditanya mengenai faktor pelarian memilih Malaysia, Zakaria berkata peluang ekonomi yang masih luas, termasuk dalam sektor pertanian, menjadi antara tarikan utama.
Katanya, sebahagian daripada mereka memanfaatkan tanah terbiar untuk membina kediaman sementara serta menjalankan aktiviti pertanian sebelum menjual hasil tanaman di pasar borong.
“Selain itu, ada juga yang sudah bertapak di Malaysia dan berusaha membawa masuk ahli keluarga yang masih berada di luar negara. Bagaimanapun, semua pelarian ini tetap tertakluk kepada undang-undang negara,” katanya.-UTUSAN.
The post 4,000 pelarian sudah didaftar appeared first on Utusan Malaysia.

