
SHAH ALAM, 17 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor menunggu proses pendaftaran Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi pelarian Myanmar dan individu tanpa kerakyatan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum menyusun tindakan lanjut berkaitan pengurusan komuniti berkenaan di negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri kini sedang mengumpulkan data berkaitan komuniti berkenaan pada peringkat daerah untuk dikemukakan kepada KDN bagi membolehkan tindakan susulan diambil bersama-sama agensi berkaitan serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Dia (pelarian) kena berdaftar, perkara ini dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan kita tunggu proses pendaftaran itu selesai untuk kita susun dan aturkan balik.
“Perkara ini sedang dikumpulkan menerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, dan Daerah Hulu Langat memang telah kumpulkan dan ada datanya, manakala daerah lain akan kumpulkan untuk kita kemukakan kepada pihak Menteri Dalam Negeri dan juga untuk diambil tindakan bersama dengan UNHCR,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smartsel Sdn Bhd dengan PG Linkaranfibre Sdn Bhd di sini, hari ini.
Mengulas isu individu tanpa kewarganegaraan termasuk pelarian Myanmar yang menjalankan aktiviti perniagaan di Selangor, Amirudin berkata perkara itu juga perlu dilihat selepas proses pendaftaran oleh KDN diselesaikan.
Baca juga:Beliau berkata kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk memberikan lesen atau kebenaran kepada komuniti berkenaan bagi menjalankan aktiviti tertentu kerana perkara itu tertakluk pada bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, khususnya KDN.
Bagaimanapun, beliau berkata aspek kemanusiaan perlu diambil kira dalam menangani isu berkenaan, termasuk sekiranya terdapat cadangan untuk menghantar mereka pulang.
“Seboleh mungkin kita nak hantar pulang dan penghantaran pulang itu memerlukan persetujuan kerajaan mereka, namun ada faktor kemanusiaan yang perlu dilihat kerana kalau kita halau semua, akhirnya mereka melarat di tepi jalan dan akan timbul masalah sosial yang lain, jadi kita kena seimbang dalam bab ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri masih menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan berhubung pendedahan laporan insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada April 2025 kepada orang awam.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia mendedahkan laporan berkenaan sekiranya mendapat kebenaran, namun perkara itu turut membabitkan beberapa agensi Kerajaan Persekutuan dan anak syarikat milik kerajaan.





