
KUALA LUMPUR - Empat pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) direman enam hari selepas disyaki terbabit merogol seorang pelajar Tingkatan Tiga dalam kelas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah reman terhadap empat remaja lelaki itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana.
“Semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol berkumpulan,” katanya lapor Bernama.
Dua suspek berusia 17 tahun itu dilaporkan merogol mangsa berusia 15 tahun bergilir-gilir pada kira-kira 2.50 petang 2 Oktober lalu, ketika gadis itu berjalan ke kelasnya untuk mengambil sesuatu.
Dua daripada suspek dilaporkan melihat dan merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit mereka.
Insiden tersebut terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.
Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan menggesa pentadbir sekolah mematuhi garis panduan dalam mengendalikan kes salah laku seksual bagi menjaga kesejahteraan pelajar dan guru
Katanya, ia memandang serius kes itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada polis.
“Tiada kompromi terhadap kes salah laku seksual dan tindakan tegas mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah,” katanya dalam kenyataan. - 11 Oktober, 2025
The post 4 calon SPM direman kes rogol berkumpulan dalam kelas appeared first on Scoop.
