4 filem Sabah jengah pawagam Oktober ini

LocalMovie
29 Sep 2026 • 4:54 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

4 filem Sabah jengah pawagam Oktober ini

EMPAT filem Sabah – tiga filem cereka dan sebuah filem pendek – dijadualkan bakal menemui penonton sepanjang Oktober ini sekali gus memperlihatkan momentum baharu dalam perkembangan industri perfileman negeri.

Keempat-empat produksi berkenaan akan mengisi slot tayangan bulan hadapan sebagai langkah strategik untuk mendapatkan ruang pasaran sebelum pawagam dijangka dibanjiri pelbagai filem berskala besar menjelang November dan Disember.

Tirai tayangan filem Sabah akan dibuka dengan filem Bobohizan Next Generation arahan Marc Abas yang dijadualkan untuk tayangan perdana pada 3 Oktober ini.

Ia kemudiannya disusuli Mr. Finance arahan Jade Morris pada 8 Oktober sebelum Malam Gala filem pendek Bas Malam arahan adik-beradik Shera dan Zura Anwar pada 17 Oktober.

Rangkaian tayangan ini akan ditutup dengan filem Giring arahan Marlin Malalin pada 29 Oktober 2026.

Lebih menarik, keempat-empat produksi itu turut memperlihatkan kepelbagaian model pembiayaan dalam industri filem Sabah. Dua daripadanya menerima dana sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) manakala Mr. Finance diterbitkan menggunakan pembiayaan sendiri.

Sementara itu, Bas Malam yang menampilkan barisan pelakon berprofil nasional mendapat sokongan pelaburan swasta menerusi program pembangunan 10Star FC sekali gus menunjukkan bahawa karya filem tempatan turut mampu menarik minat pihak swasta untuk terlibat dalam pembangunan industri kreatif.

Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva) Chester Pang menyifatkan perkembangan terbabit sebagai satu perkembangan yang menggalakkan dan mampu menyuntik semangat baharu kepada penggiat filem Sabah untuk terus menghasilkan karya.

Menurut Chester, sokongan penonton tempatan amat penting dalam memastikan filem yang dihasilkan penggiat Sabah mempunyai peluang untuk berkembang dan mendapat perhatian pasaran lebih luas.

“Mari kita ke panggung menonton filem-filem Sabah khususnya Mr. Finance dan Giring yang akan ditayangkan di lebih daripada 35 buah pawagam di seluruh negara.

“Sokongan penonton adalah penting kerana setiap tiket yang dibeli turut menjadi sebahagian daripada sokongan kepada industri dan penggiat filem Sabah,” katanya selepas melakukan lawatan ke lokasi penggambaran Beri Aku Waktu, karya sulung Dr. Zairul Anwar di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Chester yang juga Pengerusi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (Kreatif Sabah) berkata perkembangan ini turut membuktikan bahawa industri perfileman Sabah masih mampu bergerak walaupun berdepan pelbagai cabaran khususnya dari aspek pembiayaan, pasaran dan peluang tayangan.

“Dengan adanya kerjasama serta sokongan daripada Finas, pihak pelabur dan pemain industri seperti 10Star Cinemas, industri perfileman Sabah masih mampu menghasilkan karya dan bergerak ke hadapan.

“Ini menunjukkan bahawa bakat serta kreativiti anak Sabah mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan lebih jauh,” katanya.

Beliau berkata momentum berkenaan dijangka dapat diperkukuh menerusi pembangunan portfolio Ekonomi Kreatif yang diwujudkan pada 1 Disember 2025 di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Katanya, apabila struktur, dasar dan hala tuju pembangunan industri kreatif selesai dirangka kelak, ia akan menjadi landasan serta panduan penting dalam membentuk ekosistem filem dan industri kreatif Sabah yang lebih tersusun.

“Sekiranya ekosistem ini dapat diperkukuh secara berterusan, kita bukan sahaja dapat melahirkan lebih banyak filem Sabah, tetapi juga membuka peluang kepada bakat muda, mewujudkan pekerjaan serta membawa karya dan cerita Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved