Filem Konspirasi buru ‘nafas kedua’, bakal kembali ke pawagam

EntertainmentMovie
19 Sep 2026 • 11:05 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Filem Konspirasi buru ‘nafas kedua’, bakal kembali ke pawagam

KUALA LUMPUR – Selepas tayangannya ditamatkan hanya seminggu selepas menemui penonton pada 28 Mei lalu, filem Konspirasi kini bersedia memburu ‘nafas kedua’ menerusi edisi khas yang dirancang kembali ke pawagam.

Penerbit Eksekutif Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd., Jack Yeoh berkata, pihaknya sudah menetapkan sasaran tarikh tayangan semula dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, katanya, rancangan tersebut masih tertakluk kepada garis panduan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selain memerlukan sokongan pihak berkenaan.

“Kami sudah mempunyai sasaran tarikh tayangan semula dan berharap dapat membuat pengumuman rasmi selewat-lewatnya minggu depan.

“Namun, ini merupakan edisi khas yang tertakluk kepada pekeliling Finas. Tanpa sokongan rasmi mereka, rancangan tayangan semula ini tidak dapat dilaksanakan mengikut kelaziman industri,” katanya ketika ditemui pada sesi tayangan khas naskhah berkenaan di TGV Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Jack, usaha membawa filem tersebut kembali ke layar perak dibuat susulan permintaan penonton dan peminat yang mahu Konspirasi diberikan peluang kedua.

Dalam masa sama, pihak produksi turut merancang membawa karya berkenaan ke pasaran antarabangsa termasuk Taiwan dan Korea Selatan selain memperluas tayangannya menerusi platform penstriman digital.

Katanya, sambutan positif di Singapura dengan tempoh tayangan mencecah enam hingga tujuh minggu membuktikan Konspirasi mempunyai potensi untuk diterima penonton luar negara.

“Beberapa negara lain juga sedang dalam peringkat rundingan. Perkembangan lanjut mengenai tayangan antarabangsa akan diumumkan kemudian,” ujarnya.

Sementara itu, pelakon utamanya, Datuk Adi Putra menyifatkan kontroversi yang pernah menyelubungi filem berkenaan sebagai sebahagian daripada dinamika dunia hiburan yang mampu menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, katanya, mesej utama Konspirasi mengenai isu rasuah perlu diberikan perhatian kerana perkara tersebut bukan sahaja relevan di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

“Elemen konspirasi dan sensasi perlu ada, tetapi mesej utama yang harus ditekankan ialah pengajaran mengenai rasuah.

“Penonton seharusnya dapat memahami dan menilai realiti yang cuba disampaikan menerusi filem ini,” katanya.

Tayangan khas tersebut turut dihadiri Tengku Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Mohd. Din.

Turut hadir, Tan Sri Azam Baki serta barisan pelakon utama seperti Adi, Sarimah, Esma Daniel dan Amir Nafis.

Konspirasi merupakan kerjasama antara Elepfilm Entertainment dengan Asia Tropical Films, manakala edaran dikendalikan Primeworks Studios.

Filem tersebut mengisahkan sebuah pasukan elit diketuai Adli yang merampas pelayan tersembunyi mengandungi senarai ahli politik korup.  – KOSMO! ONLINE

The post Filem Konspirasi buru ‘nafas kedua’, bakal kembali ke pawagam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved