4 Hari Tanpa Elektrik, Guru Pedalaman Ulu Baram Desak Kemudahan Asas Diselesaikan

22 Apr 2025 • 10:06 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Guru Pedalaman Ulu Baram Rayu Bekalan Elektrik Dipulihkan

4 Hari Tanpa Elektrik, Guru Pedalaman Ulu Baram Desak Kemudahan Asas Diselesaikan. Di pedalaman Sarawak, jauh dari arus pembangunan moden, sekumpulan guru mendidik dalam keadaan serba kekurangan.

Baru-baru ini, satu luahan menyentuh hati dikongsi oleh seorang admin Facebook, mengenai nasib malang guru-guru di kawasan Ulu Baram.

image is not available
Gambar sekadar ilustrasi

Hari Keempat Tanpa Penjana Kuasa

Bayangkan makanan dalam peti sejuk mula berbau busuk kerana sudah empat hari tiada bekalan elektrik. Itulah yang dialami para pendidik di salah satu sekolah di Ulu Baram. Tanpa bekalan elektrik, bukan sahaja makanan rosak, tetapi operasi sekolah turut terjejas — lebih-lebih lagi bagi asrama murid yang bergantung sepenuhnya pada kemudahan asas ini.

Mereka bukan meminta gaji tinggi, jauh sekali kemewahan. Cuma satu — kemudahan asas yang sepatutnya dijamin oleh pihak kontraktor dan kerajaan.

“Please admin, tolonglah bersuara tuk kami yg bertugas di Ulu Baram sini. Betul-betul merayu,” tulis seorang guru yang identitinya dirahsiakan.

“Kontraktor Suruh Jangan Buat Laporan”

Lebih mengejutkan, guru tersebut turut mendedahkan bahawa pihak kontraktor melarang mereka membuat laporan berkenaan kerosakan genset (penjana kuasa). Ini bukan kejadian terpencil. Sekolah lain di kawasan sama turut mengalami masalah serupa. Malangnya, tiada penyelesaian konkrit diberikan.

“Paling teruk, bila pihak kontraktor cakap jangan buat laporan. Bukan tempat saya je kena masalah genset ni, sekolah kawan saya pun tengah alami masalah yang sama.”

Persoalan yang timbul — bagaimana syarikat sebegini boleh diberi tender untuk menyelenggara keperluan penting sekolah?

“Kami Ikhlas Mendidik, Tapi Sampai Bila?”

Dalam mesej terakhir, guru itu meluahkan rasa kecewa dan penat menjalani kehidupan serba kekurangan.

“Kami ikhlas untuk mendidik anak bangsa sendiri, tapi jika situasi ini nerterusan, sapa pun takkan tahan.”

Guru-guru ini sanggup berkorban demi anak bangsa, namun mengapa mereka perlu terus menanggung derita? Di kala negara laungkan kemajuan pendidikan, realitinya masih ramai yang ditinggalkan jauh di belakang.

Seruan Tindakan Segera

Luahan ini telah ditujukan kepada pihak berautoriti seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), PPD Baram, serta YB kawasan terlibat. Ia bukan sekadar luahan emosi, tetapi satu seruan mendesak agar tindakan segera diambil demi masa depan anak-anak di pedalaman.