
Taiwan semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan mesra muslim yang kian berkembang, terutama dalam menyediakan kemudahan untuk pengembara Islam.
Dengan peningkatan jumlah pengembaran muslim dari seluruh dunia, termasuk dari Asia Tenggara, pihak berkuasa pelancongan Taiwan bersama industri hospitaliti tempatan telah mengambil inisiatif memperluas kemudahan mesra Muslim di pelbagai tarikan pelancongan, termasuklah hotel.

Hotel mesra Muslim di Taiwan kini dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti restoran halal, ruang solat, arah kiblat di bilik, serta kemudahan wuduk yang memudahkan urusan ibadah pelancong muslim.
Salah satu kemudahan utama di hotel mesra muslim ialah penyediaan makanan halal. Beberapa hotel di Taiwan telah mendapatkan pensijilan halal daripada badan yang diiktiraf.
Hotel mesra Muslim di Taiwan juga menyediakan kemudahan ibadah seperti ruang solat khas atau menyediakan sejadah, kompas kiblat, serta senarai waktu solat.
Terdapat juga hotel yang menyediakan tempat wuduk khas yang memudahkan tetamu menjalankan kewajipan agama dalam suasana yang selesa dan bersih.
Sebagai usaha meningkatkan keselesaan pengunjung muslim, sesetengah hotel melatih kakitangan mereka agar memahami keperluan asas pengembara Islam.

Ini termasuk cara menyambut tetamu muslim, etika penyajian makanan halal serta sensitiviti terhadap waktu solat dan bulan Ramadan.
Kebiasaannya, hotel mesra muslim ini terletak berhampiran masjid, restoran halal, dan tarikan pelancongan popular.
Berikut adalah empat hotel mesra muslim yang boleh dijadikan pilihan jika ingin bercuti ke Taiwan:
1. Sheraton Taoyuan Hotel
Terletak hanya 10 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan dan 20 minit dari Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Taoyuan, hotel ini memudahkan akses bagi pengembara yang memerlukan penginapan transit sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain.
Mengapa ia merupakan pilihan ideal bagi pengembara muslim? Ini kerana hotel ini menawarkan makanan halal sepanjang masa. Bagaimanapun, pengembara perlu buat pesanan awal.

Selain itu, pihak hotel juga akan mengeluarkan minuman beralkohol dari bilik tetamu jika tetamu memaklumkan ketika urusan daftar masuk.
Kemudahan rekreasi seperti kolam renang dalaman, sauna dan tab mandi panas juga membenarkan penggunaan pakaian renang sopan, sesuai untuk keluarga dan wanita.
Sheraton Taoyuan Hotel mempunyai 190 bilik yang terdiri daripada bilik tetamu dan suite. Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang Sheraton Taoyuan Hotel.
2. Long Yuan Leisure Farm
Jika ingin menikmati penginapan bersuasana kampung dan jauh dari hiruk-pikuk kota, Long Yuan Leisure Farm adalah tempatnya. Penginapan ini popular di kalangan pengembara yang ingin melawat tarikan di daerah Chiayi seperti Kawasan Rekreasi Hutan Nasional Alishan.

Terletak pada ketinggian 1,500 meter di atas paras laut, Long Yuan Leisure Farm menjanjikan udara yang segar dan bersih. Ia dikelilingi oleh hutan, ladang teh, dan kabus gunung yang menenangkan.
Diusahakan secara kecil-kecilan oleh satu keluarga petani, penginapan ini mempunyai 18 bilik yang terdiri daripada empat jenis iaitu bilik double standard, bilik double bajet, suite dengan pemandangan gunung dan bilik dupleks untuk keluarga (Quadruple).

Biarpun penginapan di ladang, namun setiap bilik dilengkapi dengan televisyen skrin rata, bilik mandi peribadi, air panas (tersedia dari jam 5 petang hingga 11 malam dan dari jam 6 hingga 8 pagi), serta peralatan mandian percuma. Paling penting, tahap kebersihan bilik juga sangat memuaskan.
Pengembara muslim boleh memesan makanan halal apabila menginap di sini, namun perlu buat tempahan awal dengan pemilik ladang.

Bahan-bahan masakan di restoran ini banyak menggunakan bahan-bahan segar yang diambil dari ladang sendiri. Malah, mereka juga menyediakan peralatan memasak dan pinggan-mangkuk yang berbeza untuk makanan halal.
3. Lan Kwai Fong Garden Hotel
Terletak di tengah-tengah pusat bandar Chiayi, Lan Kwai Fong Garden Hotel hanya beberapa langkah dari Pasar Malam Wenhua yang terkenal.

Hotel ini menawarkan penginapan yang selesa dengan kemudahan mesra muslim. Setiap bilik dilengkapi dengan tanda arah kiblat dan sejadah bagi memudahkan tetamu beragama Islam menunaikan solat.
Selain itu, tandas yang tersedia di dalam bilik turut dilengkapi dengan bidet serta kemudahan lain yang memenuhi piawaian kebersihan.
Satu lagi fakta penting yang ada harus tahu ialah, hotel ini mempunyai dapur yang disahkan halal oleh Persatuan Muslim Cina. Jadi pengembara muslim boleh menjamu selera tanpa ragu-ragu kerana menu halal yang disediakan mematuhi piawaian halal.
Bagaimanapun, seperti hotel-hotel mesra muslim yang lain, tempahan awal diperlukan bagi memudahkan pihak hotel untuk membuat persiapan.

Hotel ini menggabungkan elemen reka bentuk klasik dan moden, dengan penggunaan perabot kayu asli dan hiasan seni yang unik. Lobi hotel dihiasi dengan koleksi peribadi antik pemiliknya, memberikan suasana elegan dan menyambut tetamu dengan kehangatan budaya tempatan.
Lan Kwai Fong Garden Hotel mempunyai 90 bilik yang terdiri daripada pelbagai jenis, termasuk bilik standard, superior, deluxe, dan suite. Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan moden dan direka untuk memberikan keselesaan maksimum kepada tetamu.
Untuk maklumat lanjut boleh layari https://www.lankwaifonghotel.com.tw/
4. ILLUME Taipei
Terletak di Daerah Songshan, ILLUME Taipei terletak di lokasi yang strategik, iaitu di persimpangan Dunhua North Road dan Nanjing East Road yang memudahkan akses ke pelbagai tarikan utama di Taipei, termasuk Taipei Arena, Taipei 101, dan Stesen MRT Taipei Arena serta Nanjing-Fuxing.

Hotel empat bintang ini diiktiraf sebagai hotel mesra muslim berdasarkan piawaian Muslim Friendly Hotel (MFT) danMuslim Friendly Restaurant (MFR).
Menawarkan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan pengembara muslim, hotel ini tidak terkecuali daripada menyediakan makanan jika dipesan lebih awal. Bahkan minuman beralkohol juga akan dikeluarkan dari bilik jika tetamu meminta pihak hotel berbuat demikian.
Menggabungkan elemen reka bentuk kontemporari dengan kemudahan moden untuk mencipta suasana yang elegan dan mesra, hotel ini menampilkan atrium yang luas dengan pencahayaan semula jadi yang memukau, memberikan kesan ruang yang terbuka dan menyegarkan.

ILLUME Taipei mempunyai 312 bilik tetamu yang direka dengan gaya moden dan dilengkapi dengan kemudahan terkini untuk memastikan keselesaan tetamu.
Pilihan bilik termasuk premier room, premier triple room, premier family room, standard room, premier suite, deluxe suite, residence suite, dan executive suite.
Sila layari https://www.theillumehotel.com/ untuk tempahan dan maklumat lanjut. - Getaran, 28 April 2025
Foto : Rahayu MN
